Latheefa Koya

SHAH ALAM – Penglibatan kakitangan awam dalam kegiatan rasuah dalam tempoh lima tahun sehingga Jun lalu amat membimbangkan, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya.

Beliau memberitahu, hasil dapatan SPRM, sebanyak 46.3 peratus dari 4,860 individu yang ditahan kerana kesalahan rasuah dari tahun 2014 melibatkan kakitangan awam.

Katanya, kebanyakan kesalahan rasuah yang berlaku membabitkan kakitangan dalam sektor perolehan.

“Ini lebih merisaukan apabila 53.4 peratus daripada 4,860 individu itu adalah golongan muda berusia 40 tahun ke bawah.

“Kajian berhubung gejala ini juga mendapati 22.1 peratus daripada individu itu menyatakan, mereka sanggup menerima rasuah sekiranya mempunyai kuasa atau kedudukan dalam jawatan.

“Ini sesuatu yang mesti diperbetulkan agar kesalahan rasuah dalam kalangan penjawat awam dapat dihapuskan,” katanya berucap pada Majlis Lafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama Menteri Besar Selangor di sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau dan Menteri Besar, Amirudin Shari menyaksikan semua anggota Exco Kerajaan Negeri menandatangani dokumen IBR.

Sementara itu, pada sidang media, Latheefa berkata, Selangor adalah negeri pertama menandatangani IBR sejak beliau mengetuai SPRM Jun lalu.

Katanya, beliau tidak mempunyai statistik negeri yang sudah menandatangani IBR tetapi menyatakan masih banyak lagi negeri belum mengisytiharkan harta.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, itu bukan tugasnya untuk memaksa negeri yang belum berbuat demikian, tetapi menyeru supaya setiap kerajaan negeri mengikuti apa yang telah dilakukan di peringkat kerajaan persekutuan.

Beliau memberi contoh, sehingga kini 25 kementerian sudah menandatangani dokumen IBR, diikuti jabatan kerajaan Persekutuan (646), jabatan kerajaan negeri (281), Badan Berkanun (214), IPT dan Institusi Pendidikan (51), GLC (109), syarikat swasta (65), NGO dan persatuan (54) dan yayasan (lapan).

Manakala jabatan kerajaan di Selangor sebanyak 44 sudah ikrar IBR, syarikat swasta (dua), GLC (tiga) serta NGO dan persatuan (dua).

Menjawab soalan, Latheefa memberitahu, pihaknya telah menerima dokumen IBR yang sudah ditandatangani semua Ahli Parlimen, cuma tidak mempunyai angka berapa Ahli Parlimen pembangkang dan pihak kerajaan yang berbuat demikian.

“Setakat ini kita sudah terima semua IBR dari Ahli Parlimen, cuma kita belum pasti berapa dari pembangkang dan berapa dari pihak kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast