SHAH ALAM – Dua buruh binaan warga Indonesia maut apabila ditimpa runtuhan dinding konkrit di sebuah tapak pembinaan di Seksyen U16, Denai Alam di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang, Sahrullah dan Mattalha, kedua-duanya berumur 42 tahun meninggal dunia kerana cedera parah di beberapa bahagian badan.

“Bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.07 petang dan seterusnya menghantar sebuah jentera dengan kekuatan sembilan anggota.

“Setibanya di lokasi kejadian, mereka mendapati kedua-dua mangsa tersepit pada runtuhan dinding konkrit yang sedang dibina pada satu longkang yang juga masih dalam pembinaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambah Hafisham, mayat Sahrullah dikeluarkan oleh orang awam. Mangsa dipercayai patah pada bahagian tengkuk selain patah tangan.

Beliau berkata, anggota bomba mengambil masa 20 minit untuk mengeluarkan mayat Mattalha dan terpaksa memecahkan dinding konkrit menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang cedera parah di kepala.

“Kedua-dua mangsa yang berasal dari Pamekasan, Jawa Timur disahkan meninggal oleh pasukan perubatan dan mayat mereka diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast