KUALA LUMPUR – Perbuatan seorang artis, Ariz Ramli mengeluarkan kenyataan yang didakwa menghina rakyat Kelantan dikhuatiri boleh menggugat ketenteraman masyarakat di negara ini.
Timbalan Presiden Himpunan Siswazah Kelantan (HIMSAK), Datuk Aizuddin Ghazali berkata, meskipun individu tersebut yang lebih dikenali dengan nama Caprice telah memohon maaf namun, tindakannya dilihat tidak ikhlas kerana menuduh pihak lain pula membuat salah dengan memaparkan video rakamannya itu secara tidak penuh.
Katanya, HIMSAK memantau secara dekat perkembangan dan tindakan artis tersebut selepas beberapa laporan polis dibuat terhadapnya.
“Jika beliau berada pada pihak benar, kami mendesak dan mendedahkan video sebenar dan menjawab apa sebenarnya tujuan beliau berbuat demikian,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Aizuddin berkata, perbuatan menghina dan menghasut kebencian terhadap orang Kelantan amatlah dikesali dan tidak boleh diterima.
Kelmarin, Kumpulan Anak Kelantan Prihatin membuat laporan polis terhadap Caprice selepas videonya menghina rakyat di negeri berkenaan tersebar di laman sosial.
Caprice didakwa menghina rakyat Kelantan apabila mengatakan mereka secara tiba-tiba tahu berbahasa Inggeris.
Kenyataan Caprice di Instgram itu sebagai merujuk kehadiran ramai pengunjung ketika penceramah antarabangsa, Dr. Zakir Naik berkenaan muncul di Stadium Sultan Muhammad IV, di Kota Bharu, baru-baru ini. – MalaysiaGazette
https://malaysiagazette.com/blog/2019/08/19/ngo-buat-laporan-polis-kes-artis-hina-rakyat-kelantan/