Mior Azlan Mior Kamarulbaid

KUALA LUMPUR – UMNO Cawangan Tun Abdul Razak, Ampang hari ini melancarkan kempen #JomBantu dalam usaha meringankan bebanan yang terpaksa ditangggung oleh hampir 800 kakitangan Utusan Melayu Berhad yang tidak menerima bayaran gaji sejak tiga bulan lalu.

Menurut Ketua UMNO Cawangan Tun Abdul Razak, Mior Azlan Mior Kamarulbaid merangkap Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Ampang, jasa media seperti Utusan Malaysia tidak wajar dikuburkan begitu sahaja.

“Peranan kakitangan Utusan keseluruhannya terbukti mendidik masyarakat melalui penerbitan akhbar ini sejak sekian lama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Utusan Melayu yang menerbitkan akhbar berbahasa Melayu Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo dan Kosmo Ahad merupakan akhbar yang berjasa kepada negara dalam menyalurkan informasi serta maklumat berguna kepada masyarakat.

Semalam, kakitangan syarikat tersebut mengadakan perhimpunan aman di Ibu Pejabat Utusan Melayu (M) Berhad bagi menggesa pihak syarikat melunaskan gaji dan bayaran bekas pekerja skim pemisahan sukarela (VSS) yang tertunggak.

Terbaharu difahamkan, syarikat tersebut akan membentikan operasi cetakan akhbarnya bermula esok sehingga satu tarikh yang diberitahukan kelak.

Bagi yang ingin buat sumbangan berupa wang tunai, boleh disalurkan terus ke akaun NUJ MALAYSIA di nombor akaun 8000822560 (CIMB Current Acc) atau
8000367100 ( CIMB National Union of Journalist ).-MalaysiaGazette