KUALA LUMPUR – Majlis Belia Malaysia (MBM) mengakui amat terkejut kerana menerima kesan yang luar biasa selepas membantah isu mengubah had umur belia daripada 40 tahun ke 30 tahun.
Presidennya, Julfitri Joha berkata, MBM yakin perkara itu boleh diselesaikan dengan rundingan sebagaimana kenyataan media yang dikeluarkan sebelum ini.
“MBM amat terkejut kerana menerima pantulan kesan yang luar biasa termasuk diperlakukan seperti pihak menteri yang melancarkan perang habis-habisan kepada kami.
“Kami masih sedia berunding walaupun dinafikan hak kerana ‘life is not complicated, people are’.
“MBM mahu peralihan had umur dilakukan secara sukarela dan sebahagian besar pergerakan belia telah pun secara sukarela memberikan laluan kepada pemimpin belia di bawah 30 tahun namun had umur 35 tahun adalah sebagai “masa kecedaraan bagi yang menghadapi kesukaran mencari pelapis dan bagi yang dianggap ‘late bloomer’,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perundingan Belia Negara di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Julfitri menambah, MBM benar-benar mahu menjayakan agenda peremajaan pergerakan belia namun biarlah ia digerakkan secara sukarela dengan hasil yang aman dan lumayan.
Tegas beliau, pihaknya tidak mahu hasilnya hampa akibat terburu-buru dan menggunakan saluran undang-undangz
“Seperti kata-kata pepatah ‘legal maxim’ iaitu sesiapa yang terburu-buru melakukan sesuatu sebelum sampai masanya maka akan dihukum dengan tidak mendapat hasilnya.
“Namun yang paling penting kami juga tidak mahu perubahan had umur ini menjadi agenda politik sempit untuk menghukum kelompok-kelompok tertentu akibat dendam dan amarah sebaliknya peranan kita di dalam Malaysia baharu ini kita seharusnya memaafkan dan merapatkan saf sebanyak mungkin kelompok anak muda,” katanya.
Julfitri berkata, sebagai pemegang taruh terbesar pembangunan belia neara adalah amat wajar MBM diberikan konsultasi terakhir.
Bahkan ujar beliau sewajarnya MBM dijemput bersama ke Parlimen untuk memberikan sokongan kepada pindaan ini.
“Namun MBM sebaliknya dinafikan haknya. Sebagai presidem yang mendengar suara akar umbi belia maka kami membuat rayuan had umur 35 tahun bagi menyantuni suara akar umbi dan kami hanya berbeza dengan menteri dalam satu dua perkara sahaja dan dalam banyak perkara kita bersetuju termasuk isu undi umur 18,” katanya lagi.
Awal bulan lalu, MBM meluahkan rasa kecewa terhadap Syed Saddiq yang bertindak mengenepikan badan berkenaan dalam merangka pindaan Rang Undang-Undang (RUU) bagi menurunkan had umur layak mengundi kepada 18 tahun.
Jufitri Joha mempertikaikan keputusan kerajaan untuk mengurangkan had umur maksimum yang ditakrifkan sebagai ‘belia’ kepada 30, dan bukannya 35 yang diterima oleh semua badan gabungannya.
Menurut Jufitri, had umur maksimum 35 telah diterima oleh semua pihak termasuk dipersetujui oleh Syed Saddiq sendiri.
Pada 3 Julai lalu, Dewan Rakyat meluluskan RUU Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan), yang antaranya mengubah had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun. – MalaysiaGazette
Perbuatan nak ubah semua perkara sedia ada bukan menunjukkan kebijaksanaan. Kadang2 mengubah sesuatu yang ternyata baik boleh dianggap sebagai perbuatan sia2 sahaja…Apatah lagi ianya boleh menimbulkan ‘ huru hara ‘. Rakyat bukan perlu ‘ baru ‘ tetapi biar ‘ berfaedah ‘.