PUTRAJAYA – “Saya peguam selama 35 tahun. Saya cakap (sebelum ini) jumpa saya di mahkamah,” demikian kata Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran.
Walaupun penceramah antarabangsa, Dr Zakir Naik sudah memohon maaf hari ini berhubung ucapannya menyinggung masyarakat bukan Islam di negara ini, namun Kula bertegas mahu pihak polis menyiasat perkara tersebut.
“Biar polis jalankan siasatan. Dia buat salah, saya tak tahu.
“Kena tanya sama dia, bukan saya yang saman.
“Jumpa saya di Mahkamah. (Sedia hadapi Zakir) Saya 35 tahun peguam,” katanya pada ketika ditemui pemberita selepas Majlis Konvokesyen Institut Latihan Jabatan Tenaga Kerja, Kementerian Sumber Manusia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC),” di sini, hari ini.
Beliau mengulas satu rakaman video menunjukkan Zakir membuat permohonan maaf kerana ucapannya sebelum ini didakwa menyinggung masyarakat bukan Islam di negara ini.
Zakir berkata, dia bukan seorang rasis dan kenyataannya sebelum ini sengaja di tokok tambah bagi mencetuskan kontroversi.
Zakir juga menegaskan, ucapannya dipetik di luar konteks hingga mencetuskan ketegangan di antara kaum di negara ini.
Terdahulu, Pengerusi Biro Guaman DAP, Ramkarpal Singh mengingatkan pihak polis agar tidak terpengaruh dengan permohonan maaf Zakir berkenaan.
Sebaliknya kata Ramkarpal, pihak berkuasa itu perlu tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk melucutkan haknya sebagai pemegang kad merah atau taraf penduduk tetap. – MalaysiaGazette