Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn. Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail bercakap pada sidang media mengenai “Kerajaan Akan Ditukar Sekiranya Kerajaan Memberi Kelulusan Kepada Gojek” di Wisma Central, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 21 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Jemaah Menteri diminta supaya tidak melayan cadangan perkhidmatan sewa motosikal e hailing atau gojek yang mahu diperkenalkan di negara ini.

Pengasas dan Penasihat Teksi Big Blue Capital (M) Sdn. Bhd., Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, sebarang tindakan kabinet yang meluluskan perkhidmatan dari Indonesia itu merupakan satu kesilapan besar serta tindakan tidak berprinsip.

Katanya, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke tidak seharusnya melayan cadangan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman yang hanya bersifat membelakangkan masa depan anak muda.

“Kita tak maju ke depan..Menteri Pembangunan Usahawan hendak buat kereta terbang itu maju ke depan tapi Syed Saddiq keterbelakang..tak memajukan anak muda ke hadapan suruh pakai gojek.

“Adik-adik dan anak perempuan kita naik gojek duduk berpeluk nanti malah kebanyakan wanita pelacur di sana gunakan gojek tanpa halatujunya. Ini bukan Indonesia..cara kehidupan dan budayanya lain di sana yang mana gojek boleh digunakan sebab jalan raya sempit, kita tak semiskin rakyat Indonesia.

“Kenapa kita nak jatuhkan maruah anak muda kita suruh bawa gojek? Saya akan pastikan sokongan industri teksi berubah kepada kerajaan terdahulu jika (kabinet) lulus gojek dan ini bukan ugutan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau menambah, sebagai anggota kabinet berprinsip, Mahathir serta Anthony tidak sepatutnya membuka fail cadangan gojek yang ghairah untuk beroperasi di negara ini.

“Saya difahamkan Syed Saddiq akan membawa cadangan gojek ke mesyuarat kabinet petang ini. Saya nak lihat dulu apa reaksi dan keputusan anggotanya nanti.

“Kalau setiap anggota termasuk Anthony berprinsip, harap tidak bincang atau luluskan gojek, jika tidak kami akan membuat majlis ‘keramaian’ di Putrajaya, Syed Saddiq dan Anthony,” ujarnya lagi.

Malah beliau juga menyatakan kebimbangan kemasukan operasi gojek akan melenyapkan industri e-hailing termasuk perkhidmatan teksi sedia ada di negara ini.

“Kalau di Indonesia, kebanyakan wanita pelacur menggunakan gojek motosikal dan bayangkan apa reaksi jika anak perempuan dan wanita kita gunakan gojek yang dibawa lelaki, sanggup anda benarkan?

“Saya tanya juga kepada anggota menteri kabinet, apa perasaan mereka jika anak bini kita gunakan gojek?,” soalnya.

Menurutnya, Syed Saddiq dan kerajaan boleh memikirkan banyak lagi platform yang boleh memajukan anak muda kita sebaliknya ‘menghancurkan’ mereka.

Malah beliau juga mengingatkan Anthony supaya tidak menjadi pak turut  kepada pandangan Mahathir yang didakwa akan mendengar cadangan anak muridnya kesayangannya, Syed Saddiq dalam soal yang sama.

“Saya juga ingin nasihatkan bahawa Syed Saddiq mahu pun anggota kabinet yang lain jangan ingat kalau perkenalkan gojek boleh naikkan populariti, tambah sokong anak muda atau boleh menang PRU-15. Jelas sekali ia tidak akan menaikkan taraf hidup anak muda,” katanya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/blog/2019/08/20/perkenal-gojek-untuk-bantu-golongan-belia/

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast