KUALA LUMPUR- MSM Holdings Bhd. (MSM) mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM74.39 juta pada separuh pertama 2019 berbanding keuntungan bersih sebanyak RM30.14 juta tempoh sama tahun lepas didorong oleh kenaikan kos kewangan dan kos komersial serta rosot nilai MSM Johor.
Prestasi itu turut disumbang oleh penurunan nilai mata wang ringgit berbanding dolar Amerika kepada RM4.1269 berbanding RM3.9614 tahun lepas sekali gus menyebabkan kos gula mentah meningkat pada separuh pertama tahun ini.
MSM telah mencatatkan perolehan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak RM 27.5 juta.
Perolehan pula menyusut sebanyak 14 peratus kepada RM 959.84 juta bagi separuh pertama 2019 berbanding RM 1.12 juta pada tempoh yang sama sebelumnya.
Ini disumbang terutamanya pengurangan dalam harga jualan purata (ASP) bagi gula bertapis, peningkatan kos bahan mentah berikutan nilai ringgit yang rendah, persaingan sengit dalam pasaran di samping kos- kos melibatkan kilang penapisan MSM di Johor.
Kos penapisan pula meningkat sebanyak 15 peratus berpunca daripada kenaikan kos bahan api, disebabkan peningkatan tarif gas sejak Januari 2019.Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Datuk Khairil Anuar Aziz menjangkakan 2019 adalah tahun mencabar kepada MSM berikutan lambakan gula bertapis dalam pasaran domestik, di samping nilai ringgit yang semakin lemah.
Kadar penggunaan kapasiti yang rendah di MSM Johor semenjak mula beroperasi pada April tahun ini, turut menjejaskan lagi prestasi kewangan syarikat.
“Kami sentiasa memantau harga dan pergerakan semasa pasaran gula dunia.
“MSM akan mengambil peluang ke atas kos purata yang lebih rendah bagi setiap metrik tan gula mentah berdasarkan NY#11 dan nilai ringgit yang menggalakkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Khairil Anuar, pasaran menjangkakan nilai ringgit akan mengukuh dan ini diramal memberikan peluang positif buat MSM untuk beberapa bulan akan datang. Bagaimanapun, MSM akan lebih berhati-hati dan memberi tumpuan sepenuhnya pada separuh tahun kedua 2019.
MSM juga katanya akan tetap mengambil kira faktor-faktor lain seperti pelaksanaan cukai gula bagi minuman bergula, potensi lebih banyak pengeluaran AP dan liberalisasi pasaran gula domestik akan turut memberi kesan negatif kepada pencapaian MSM.
Sehubungan itu, MSM sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa berkenaan dan para pelanggan untuk berbincang dengan lebih lanjut mengenai isu-isu berkaitan industri, terutamanya pengeluaran AP.
“Kami akan terus memantau dan melaksakan mekanisme lindung nilai strategik bagi mengurangkan impak daripada ketidaktentuan nilai matawang serta harga gula mentah dunia”.
“Walaupun kami menjangkakan lebih banyak cabaran pada tahun ini, MSM akan lebih fokus pada pelaksanaan.
“Sejajar dengan komitmen berterusan kami untuk melancarkan aliran tunai, antara fokus utama MSM pada tahun 2019 adalah termasuk melupuskan aset-aset bukan teras, mengurangkan lambakan stok serta meningkatkan kecekapan bagi mengurangkan kos penapisan.
Kami juga bercadang untuk mempelbagaikan perniagaan melalui produk-produk gula yang mempunyai nilai tambah untuk dieksport serta memacu pertumbuhan syarikat melalui potensi kerjasama bersama pemain industri bereputasi bagi meluaskan jejak pasaran di peringkat global,” jelasnya lagi.- MalaysiaGazette