Paul Yong Choo Kiong mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan merogol pembantu rumahnya warga Indonesia.

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong hari ini didakwa atas tuduhan merogol seorang warga Indonesia yang menjadi pembantu rumahnya.

Yong yang merupakan Exco Keraian Negeri Perak bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.

“Saya faham (pertuduhan yang dibacakan) tetapi saya tidak pernah melakukannya,” kata Yong, sebagiamana dilaporkan Malaysiakini.

Pada 8 Julai lalu, seorang wanita warga Indonesia berumur 23 tahun membuat laporan polis, mendakwa dirogol Yong di rumah majikannya itu di Meru.

Yong diwakili peguam, Leong Cheok Keng yang juga ADUN Malim Nawar.

Lebih 100 orang yang terdiri daripada ahli keluarga, rakan dan penyokong hadir sebagai tanda sokongan kepada ADUN DAP itu.

Turut mengiringi Yong adalah Speaker DUN Perak, Datuk Ngeh Koo Ham; Exco kerajaan negeri dan Ketua Pemuda DAP, Howard Lee; Anggota Parlimen Taiping Teh Kok Lim dan empat ADUN DAP Perak iaitu Teoh Yee Chern (Astaka), Chong Zhemin (Keranji), A Sivasubramaniam (Buntong) dan Leow Thye Yih (Pokok Asam). -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast