Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Khairul Azam Aziz bercakap pada sidang media sempena Pidato Putra Merdeka di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 24 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) hari ini mengulangi pendirian tegasnya akan mempertahankan pendakwah kontroversi, Dr. Zakir Naik daripada gangguan pihak tertentu.

Naib Presidennya, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, setakat ini Putra mengambil sikap tunggu dan lihat perkembangan yang bakal berlaku kepada Dr. Zakir Naik, walaupun Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kekal dengan pendiriannya tidak akan menghantar pulang pendakwah kontroversi itu ke India.

“Semalam kita dimaklumkan ada perancangan perhimpunan anti Dr. Zakir Naik di Brickfields oleh pihak tertentu.

“Kita puji anggota polis berjaya mengawal keadaan dari segi keselamatan dan tidak berlaku kejadian tidak diingini. Kita juga berterima kasih kepada pemimpin politik yang campur tangan menasihatkan agar perhimpunan itu dihentikan,” katanya pada sidang di sini, hari ini.

Menurut Mohd Khairul Azam, Putra jelas dengan isu Dr. Zakir dan Presiden Putra, Datuk Dr. Ibrahim Ali ada mengunjungi pendakwah antarabangsa itu di kediamannya di Putrajaya dua hari lalu.

“Presiden menyatakan sokongan penuh dan mempertahankan keberadaan Dr. Zakir Naik di negara ini sebagai rakyat yang mendapat taraf Penduduk Tetap (PR).

“Dia tidak seharusnya diganggu dan Dr. Mahathir juga masih kekal pendirian mempertahankan taraf PR Dr. Zakir dan setakat ini tidak ada sebab mengapa pendakwah itu dihantar pulang,” katanya.

Beliau menyatakan, Dr. Zakir Naik adalah seorang individu berpengaruh di dunia, bukan setakat di Malaysia dan setiap kali ceramahnya didatangi puluhan ribu khalayak pelbagai agama dan bangsa.

Katanya, jika Dr. Zakir diganggu, beliau khuatir akan mencetuskan risiko yang besar.

“Putra nasihat kepada mana-mana pihak, jangan ganggu Dr. Zakir kerana boleh mencetuskan masalah besar dan tidak baik untuk rakyat Malaysia, terutama ketika keadaan kerajaannya yang lemah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast