KUALA LUMPUR – Saban hari berkongsi semangat dan keinginan untuk jadi sado di laman Instagram, bukan saja jutawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri yang sering menjadi topik perbualan sebaliknya jurulatih kecergasannya dari Egypt, Amir Mamdouh juga turut menjadi perhatian.

Selain raut wajahnya yang kacak, lelaki Timur Tengah berbadan sado itu juga mempunyai pesona tersendiri.

Berusia 31 tahun, Amir berpengalaman selama tujuh tahun sebagai jurulatih kecergasan bertauliah selain aktif menyertai pertandingan bina badan beberapa tahun sebelum ini.

Bagaimanapun bagi yang sudah jatuh hati dan atau mungkin terpesona dengannya, Amir sudah pun berkahwin dengan wanita dari Malaysia sejak tahun 2012.

Fokusnya kini mencari rezeki dengan menjadi jurulatih kecergasan bagi sesiapa yang berminat.

Ditanya pengalaman melatih jutawan kosmetik yang penuh kontroversi itu, Amir atau nama penuhnya Amir Mamdouh Hussein Eissa menjelaskan, ia satu pengalaman yang menyeronokkan.

“Beliau (Aliff) sangat baik hati dan pemurah orangnya. Paling penting seperti mana kita lihat sisinya di laman Instagram, begitulah hakikatnya. Dia seorang yang sangat melucukan. Saya enjoy melatihnya di kediaman beliau sejak lebih sebulan lalu.

“Cuma kami seperti ayam dan itik kerana berdepan masalah komunikasi. Saya walaupun sudah lebih tujuh tahun, memang belum mahir bercakap bahasa Melayu. Beliau pula tidaklah fasih berbahasa Inggeris tapi semua itu bukan penghalang untuk saya dan dirinya memenuhi tanggungjawab serta misi masing-masing.

“Pendek kata, dia sangat menyenangkan. Saya sendiri ada kalanya tak tahan menahan gelak kerana sikap humornya,” kata Amir.

Bergelar jurulatih kecergasan bagi Amir bukanlah kerja yang mudah dan katanya, setiap klien yang datang kepadanya mahu mendapatkan hasil yang terbaik selepas melaburkan sejumlah wang.

“Saya mencari rezeki dalam bidang ini dan selesa jujur dan amanah dalam kepercayaan yang diberikan. Pada akhirnya kerja keras dan semangat untuk capai sesuatu yang diingini itu akan jadi ukuran. Ia situasi menang-menang. Disiplin diri klien termasuk terhadap tahap dan situasi badannya juga amat penting untuk mencapai matlamat diingini.

“Plan diet yang betul, rutin senaman dan mengesyorkan suplemen yang terbaik juga menjadi tugas penting saya. Waktu tidur juga kena cukup dan jangan dipandang sambil lewa. Kita memerlukan rehat yang secukupnya.

“Saya akan merancang rutin senaman dan diet yang betul sesuai dengan tahap badan klien. Selepas 10 ke 15 hari juga saya akan memeriksa progress klien,” katanya.

Amir menambah dia menawarkan khidmat penurunan berat badan, pembinaan otot badan, body toning, lean muscle, persediaan untuk menyertai pertandingan membina badan selain perancangan diet serta suplemen.

“Saya melatih secara one to one. Untuk memudahkan klien, saya boleh ke rumah mereka. Atau sebagai pilihan boleh berlatih dengan saya di gim pilihan. Saya juga melatih secara dalam talian (online).

“Bab harga, saya menawarkan khidmat yang setimpal dengan apa yang ditawarkan,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast