KUALA LUMPUR – Kerajaan sibuk mempromosi kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 sambil memperuntukkan jutaan ringgit bagi menarik pelancong luar negara.

Bagaimanapun, nampaknya ada juga isu-isu kritikal perlu diselesaikan.

Daripada sibuk untuk fokus kepada isu-isu seperti logo dan majlis perasmian bagi tujuan itu – mungkin juga ada baiknya kerajaan kena peka dengan perkara berkaitan termasuk soal kebersihan.

Kadangkala isu pembuangan sampah merata-rata masih di takuk lama.

Baru-baru ini tular apabila seorang pelancong warga Switzerland mengkritik sikap rakyat di negara ini yang gemar membuang sampah merata-rata sehingga merosakkan permandangan yang indah.

Malah pelancong itu yang memuat naik sebuah video kini tular dengan mengkritik pihak berkuasa tempatan kerana tidak peka dengan sampah sarap yang padanya sungguh ‘menyakitkan mata’.

Dalam video itu, Mat Salleh berkenaan dilihat sedang menunggang basikal di sebuah kawasan perkampungan sebelum berhenti bagi merakam video di tepi jalan.

“Saya mohon supaya PBT buat sesuatu tentang perkara ini. Tidak pasti siapakah pengotor yang meninggalkan sampah sarap seperti ini. Tengok itu, sejujurnya, ini adalah sesuatu yang langsung tidak boleh diterima akal.

“Dengan melihat sampah ini, saya syorkan kepada Perdana Menteri supaya menghantar rakyat Malaysia ke negara saya, Switzerland untuk tinggal sekurang-kurangnya empat minggu di sana.

“Kerana di sana (Switzerland) anda tidak akan tinggalkan sampah sarap seperti ini terutama di tempat yang indah permandangan seperti lokasi yang saya ada kini. Cuba tengok sendiri betapa indahnya permandangan dan sampah-sampah ini.

“Ini pastinya kerja orang pemalas buang sampah tepi jalan seperti ini. Malas, sungguh malas.

“Bila saya berkesempatan melawat Cameron Highlands, saya juga lihat orang buang sampah dari kereta sesuka hati. Jika ini adalah negara saya, sudah pasti kamu-kamu ini didenda semaksimum mungkin.

“Sekurang-kurangnya RM1,000 akan didenda. Anda sedia maklum bukan nilai itu bukan sedikit dan begitu susah payah untuk dapatkannya? Saya rasa di Singapura juga, sikap ‘karut’ buang sampah seperti ini tidak dibenarkan langsung atau berdepan dengan tindakan undang-undang,” katanya lagi.

Pelancong itu juga memohon supaya umum menularkan video itu dan berbuat sesuatu bagi menyelesaikan isu sampah serta sikap buruk rakyat Malaysia. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast