KUALA LUMPUR – Menteri Besar, Amirudin Shari diingatkan agar menyelesaikan pelbagai masalah rakyat di Selangor yang tertangguh sejak tiga penggal lalu sebelum membidas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, Amirudin sepatutnya mencerminkan diri sendiri susulan masalah air di Selangor masih gagal diatasi meskipun Pakatan Harapan (PH) sudah memerintah negeri maju itu sejak 2008.
“Menteri Besar Selangor Amirudin lebih baik selesaikan masalah Selangor dan masalah dalaman parti anda dahulu sebelum nak pertikaikan kenyataan Datuk Seri Zahid Hamidi yang mengangkat isu masalah rakyat.
“Jika rumah atau pejabat Menteri Besar kekurangan cermin, saya sedia menyumbangkan cermin untuk kegunaan Menteri Besar Selangor untuk beliau cermin dahulu muka beliau sebelum mengeluarkan kenyataaan,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook miliknya, hari ini.
Semalam, Amirudin meminta Ahmad Zahid bercermin diri sendiri terlebih dahulu sebelum mencampuri urusan politik parti lain.
Amirudin yang juga Pengerusi PKR Selangor berkata, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sepatutnya bimbangkan keadaan politik UMNO selepas ramai ahlinya keluar parti dan menyokong kepimpinan kerajaan PH di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad.
Terdahulu, Ahmad Zahid mendakwa Dr Mahathir ketika ini bersendirian dalam PH kerana Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang aktif membuat perancangan untuk menolak kepimpinan Perdana Menteri itu.
Dalam pada itu, Armand turut mempertikai sikap tidak bertanggungjawab PH Selangor yang kerap kali menyalahkan Barisan Nasional (BN) apabila berdepan dengan kemelut air dan isu cukai di Selangor.
“Sudah tiga penggal PH memerintah Selangor, masalah air masih tidak selesai lagi sehingga kini tak akan masih nak salahkan BN walaupun sudah tiga penggal.
“Cukai pintu, cukai perniagaan dan pelbagai cukai baharu makin meningkat terutama di Selangor.
“Belum cerita lagi tentang sewa tapak perniagaan baik di bawah PKNS, tapak pasar malam, tapak pasar pagi dan tapak kedai-kedai makan di bawah majlis perbandaran makin naik tinggi,” katanya.
Menurut Armand lagi, kemelut dalaman kepimpinan PH tidak boleh disorok lagi termasuk perebutan kuasa khususnya peralihan kuasa daripada Dr Mahathir kepada Anwar sebagai Perdana Menteri ke-8.
“Rakyat Malaysia nampak PH kini dalam krisis kepimpinan yang amat lemah terutama bila ada suatu puak yang tidak sabar nak jadi Perdana Menteri ke-8.
“Rakyat Malaysia nampak ada dua kumpulan dalam PH, ibarat sejarah 1998 dahulu sudah mula digerakan.
“Lihat sahaja kenyataan sesama Menteri yang selalu bercanggah antara satu sama lain. Belum lagi kita bangkitkan kenyataan Perdana Menteri dan Menteri yang selalu buat pusingan U,” katanya
Lebih membimbangkan kata Armand apabila isu perpaduan nasional semakin parah di bawah pentadbiran PH
“Apa yang mengusarkan saya dan jutaan rakyat Malaysia di bulan kemerdekaan ini adalah isu perpaduan nasional yang dilihat sudah mula keretakan antara satu sama lain.
“Ini kerana Kerajaan PH gagal mewujudkan semangat kesatuan dalam negara kita. Ini berlaku kerana Kerajaan PH berkuasa atas dasar politik kebencian dan fitnah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette