Mujahid Yusof

BANGI – Ustaz atau agamawan tidak boleh menyampaikan khutbah Jumaat jika tidak mempunyai tauliah, tegas Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri mendakwa ada sesetengah ustaz dghairah menyampaikan khutbah dan menyalahgunakan mimbar sehingga mengenepikan undang-undang.

“Ustaz yang duduk mimbar baru-baru ini, Jumaat ini yang berlagak lebih dari Perdana Menteri ini dia hendak berkhutbah pun kena ada tauliah.

“Dapat mic (mikrofon) ini seronok, yang paling dapat mic ini ustaz-uztaz pasal pagi, tengah hari, petang, maghrib, lepas isyak mengajar kadang-kadang malam pukul 12 pun mengajar juga.

“Hari Jumaat, beratus orang dengar dia bercakap, tuan-tuan jaga-jaga. Kita seronok, Allah bagi seronok pada kita tapi ingat dalam kita ghairah orang ramai (dengar) tapi tidak ada hikmah lingkup kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Konvensyen Penyelia Kafa peringkat kebangsaan 2019 di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) hari ini.

Mujahid bagaimanapun Mujahid tidak menyebut siapakah ustaz yang dimaksudkannya.

Beliau menegaskan larangan memberi khutbah Jumaat bagi yang tidak mempunyai tauliah tidak perlu disalahtafsir dan dianggap sebagai halangan berdakwah seperti anggapan larangan memberi kuliah.

Sebaliknya, kata Mujahid, ia demi kemaslahatan masyarakat pelbagai kaum.

“Itu bukan isu menyekat itu isu nak jaga maslahat sebab kalau kita tidak ada tauliah takut-takut yang diajar itu bukan yang ditetapkan, mungkin menimbulkan kebencian dalam masyarakat,mungkin menimbulkan permusuhan dalam masyarakat.

“Maka kehendak undang-undang itu sendiri hikmahnya ialah apa, mengawal kepentingan yang lebih besar, bukan hanya untuk orang yang mengajar itu sahaja,” katanya lagi.

Beliau dalam masa yang sama menegur pandangan pelbagai pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan pihak berkuasa baru-baru ini untuk tidak membenarkan penceramah kontroversi, Dr. Zakir Naik memberi ceramah melalui semua medium.

Baginya, tentangan yang disuarakan adalah penuh beremosi tanpa memahami tujuan keputusan itu dibuat.

“Jadi, bila timbul isu Zakir Naik tiba-tiba hilang fokus, tidak tengok dan fokus kepada hikmah yang lebih besar dari segi undang-undang, dari segi nak jaga individu atau nak jaga masyarakat,” katanya lagi.

KEPELBAGAIAN BUKAN BALA

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar turut menegur pertikaian masyarakat sejak kebelakangan ini yang berpunca daripada perbezaan kaum.

Katanya, kepelbagaian kaum dalam negara seperti menjadi bala kepada rakyat negara ini sehingga berbalah antara satu sama lain.

Walaupun mempertahankan agama Islam, beliau juga mahu semua pihak tidak lupa tentang pentingnya menghormati undang-undang.

“Kepelbagaian ini merupakan satu rahmat yang perlu diurus dengan penuh bijaksana. Kita hari ini seolah-olah menggambarkan kepelbagaian satu bala. Kita memilih kepelbagaian sebagai bala dengan menyatakan ini kerana kaum ini, ini kerana kaum ini, ini pendatang, ini baru datang yang ini datang kemudian.

“Ia jadi begitu sebab kita memilih untuk berfikir demikian tapi kalau kita memilih untuk berfikir ini negara kita, itu saudara kita maka kita akan berdiri sama tinggi, duduk sama rendah, mempertahankan keharmonian dan perpaduan dalam negara kita.

“Negara kita dalam hikmah punya undang-undang. Undang-undang yang berdiri atas prinsip hukum. Dalam kita bersemangat mempertahankan Islam jangan kita lupa, hikmah dan menghormati undang-undang,” tambahnya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast