Najib Razak

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini didedahkan tentang bayaran khas sebanyak RM1 juta telah diberikan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak selepas beliau tidak lagi memegang jawatan perdana menteri ketika perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini.

Saksi kedua perbicaraan berprofil tinggi, Ketua Unit Tuntutan dan Saraan, bahagian Kewangan Jabatan Perdana Menteri, Natasha Rahimah Haryati Mohamad, memberitahu bayaran khas itu dimasukkan terus ke akaun peribadi Najib pada Mei 2018.

Nathasha, 47, berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib dalam perbicaraan hari pertama melibatkan bekas Presiden UMNO itu yang juga menjurus kepada dana 1MDB.

“Elaun khas sebanyak RM1 juta telah dibayar kepada beliau (Najib) melalui akaun peribadi Affin Bank.

“Itu sememangnya pemberian khas mengikut Akta Ahli Parlimen (saraan) 1980 sebanyak RM1 juta dibayar sekali sahaja setelah Perdana Menteri bersara dan selesai di masukkan ke akaun beliau pada Mei tahun lalu,” katanya.

Dalam pada itu, Natasha menjelaskan jumlah gaji kasar yang diterima Najib bagi setiap bulan bermula April 2009 hingga Mei 2018 ialah sebanyak RM58,605.15.

Gaji-gaji itu juga turut di masukkan ke akaun Affin Bank milik Najib.

Sementara itu, saksi ke-4, bekas pengarah sebuah syarikat perkhidmatan digital, Orb Solutions Sdn Bhd., Noorhaina Hirawani Mohd Noor mendedahkan Najib pernah memberikan cek bernilai RM2 juta bagi tawaran perkidmatan syarikatnya.

Kata Noorhaina di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Collin Lawrence Sequerah, Najib adalah ‘satu-satunya’ pelanggan yang menggunakan khidmat Orb Solutions yang juga merupakan antara penama menerima dana 1MDB.

Orb Solutions telah ditubuhkan pada 2008 untuk mengendalikan perkhidmatan digital seperti menguruskan akuan media sosial selain menjaga ‘imej’ beliau di mata umum untuk Najib yang pada ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri.

Katanya, jumlah tersebut adalah untuk pembayaran kos operasi, seperti gaji kakitangan, sewa dan urusan harian pejabat.

Noorhaina juga menjelaskan selepas Pilihan Raya Umum 2008, kepentingan media sosial mula menjadi satu kepentingan buat kerajaan Barisan Nasional apatah lagi ketika itu pembangkang telah manfaatkan media itu dengan baik untuk menang lebih banyak kerusi.

Oleh yang demikian, syarikat itu telah dibawa masuk untuk menjaga kepentingan Najib ketika itu.

Selain itu, Noorhaina yang berpendidikan dari Curtin Universiti juga mendedahkan dirinya mendapat gaji sebanyak RM24,000 sebulan ketika dipinjamkan ‘sementara’ untuk bekerja di Pejabat Perdana Menteri (PMO) sebagai setiausaha akhbar digital Najib.

Bekas CEO Orb Solutions mendedahkan pernah bekerja di PMO daripada Ogos 2013 hingga Oktober 2014 yang berperanan menjadi penghubung dalam JPM untuk Orb Solutions sebagai agensi digital.

Noorhaina juga bersetuju ketika soal balas oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bahawa sebenarnya kerja beliau tidak memberikan manfaat peribadi kepada Najib dan saksi bersetuju dengan cadangan tersebut. 

Perbicaraan di tangguhkan dan akan di sambung esok jam 9.30 pagi -MalaysiaGazette