Najib Razak

KUALA LUMPUR – Tidak sampai sehari selepas perbicaraan SRC International yang melibatkan penyewelengan dana sebanyak RM42 juta ditutup, Datuk Seri Najib Najib Tun Razak kini berdepan dengan prosiding 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perbicaraan 1MDB ini merupakan dakwaan kes menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram membabitkan bekas Perdana Menteri ke-6 itu yang ketika masih lagi memegang tampuk kuasa.

Sebelum ini, beberapa kali tarikh perbicaraan kes itu terpaksa ditangguhkan kerana pihak pendakwaan belum selesai memanggil dan mendengar keterangan semua saksi dalam prosiding SRC International sejak lima bulan lepas.

Minggu lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah mengarahkan prosiding yang juga dikenali dengan jolokan ‘perbicaraan Tanore’ itu bermula pukul 9.30 pagi hari ini.

Setakat ini, kelibat Najib masih belum kelihatan namun kompleks mahkamah Jalan Duta sudah sesak dengan kehadiran media termasuk antarabangsa, pengamal undang-undang serta pemerhati.

Suasana mahkamah terbuka di tingkat lima tempat perbicaraan berlangsung dan bilik video menempatkan media juga kelihatan penuh serta sesak seawal 8 pagi lagi.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berdepan empat tuduhan rasuah yang didakwa dilakukan di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Dis 2014.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) undang-undang yang sama.

Beliau boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan didenda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan itu mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan wang haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, Hakim Sequerah menetapkan 19 hingga 29 Ogos; sepanjang bulan September dan Oktober kecuali hari Jumaat; dan dua minggu pertama pada bulan November untuk mendengar perbicaraan kes 1MDB Najib.

Pada 13 Ogos lalu, Hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak permohonan Najib untuk menangguhkan perbicaraan kes 1MDB.

1MDB dijangka memanggil sekurang-kurangnya 60 saksi  termasuk individu yang pernah memberi keterangan ketika prosiding SRC International.

Najib juga merupakan satu-satunya bekas Perdana Menteri yang terpalit dengan tuduhan jenayah dengan pelbagai perbicaraan di negara ini.

Bagaimanapun, Najib yang juga bekas Presiden UMNO tidak pernah mengaku salah untuk semua tuduhan yang didakwa ke atasnya sebaliknya telah mohon dibicarakan satu persatu.–MalaysiaGazette