ENGLAND – Sebuah petisyen yang menghalang Perdana Menteri Britain, Boris Johnson daripada menggantung parlimen berjaya mengumpul lebih sejuta tandatangan warga Britain.
Angka itu meningkat secara mendadak untuk beberapa jam semalam selepas Boris mengumumkan rancangannya untuk menggantung parlimen.
Pengumuman Boris mencetuskan bantahan di seluruh Britain.
Ratu Elizabeth semalam dikatakan telah menerima permohonan Boris untuk menggantung parlimen untuk tempoh lima minggu bermula 9 September ini.
Bagaimanapun Boris menafikan tuntutan penggantungan parlimen itu berhubung isu Brexit.
Katanya, amanat atau ucapan Ratu Elizabeth diperlukan pada 14 Oktober ini memandangkan kerajaan baharu ditubuhkan selepas Teresa May berundur dan pelbagai agenda menarik untuk rakyat telah dirangka dan memerlukan perundangan baharu yang harus dipinda.
Namun bukan semua dalam kalangan rakyat yang bersetuju dengan alasan Boris sebelum majoritinya turun di jalanan untuk menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap perancangan Boris.
Pengerusi Parti Konservatif yang memerintah, James Cleverly mempertahankan tindakan Boris dan mendakwa tindakan kerajaan mahu mendengar amanat Ratu Elizabeth adalah tradisi yang diamalkan setiap barisan pemerintah sejurus selepas kerajaan baharu terbentuk.
Bagaimanapun Timbalan Pengerusi Parti Buruh, Tom Watson mendakwa, ia bukan kerajaan ‘baharu’ dan tindakan mahu menggantung parlimen adalah tidak wajar dan bertentangan dengan amalan demokrasi yang tidak seharusnya dibiarkan berlaku.- MalaysiaGazette