SPB Live In Concert 'Illaya Nila'

KUALA LUMPUR – Konsert berprestij yang amat dinanti-nantikan oleh peminat khasnya lagu komposer tersohor India, Maestro Illayaraja bakal menggegarkan negara 31 Ogos ini dalam ‘SPB Live in Concert-Illaya Nila’ dalam beberapa hari lagi.

Menariknya, penganjur Raaghav Production dengan kerjasama Malik Streams Corporation Sdn Bhd juga akan membuat kejutan istimewa apabila membawa masuk pemain piano termuda dunia, Lydian Nadhaswaram yang juga dikenali sebagai ‘mini Maestro’ buat kali pertama.

Sudah tentu ‘hero’ sebenar konsert, penyanyi terkenal India, S.P Balasubrahmanyam atau lebih mesra dengan panggilan SPB yang hadir untuk kali kedua selepas kejayaan konsert sama tahun lalu, permintaan tinggi serta sokongan tidak berbelah bahagi peminat Malaysia menyebabkan beliau datang lagi.

SPB juga sinonim pemegang Guinness World Records kerana keupayaannya menyanyikan lebih 40,000 buah lagu selama berdekad malah setiap satunya telah berjaya memenangi beratus juta peminat seluruh dunia.

Untuk menjadikan konsert ini lebih ‘hebat’ daripada biasa selain kolabrasi unggul antara Raaghav Production dan pastinya tidak asing Malik Streams Corporation yang di terajui oleh Datuk Abdul Malik Dasthigeer, penampilan Lydian pastinya di nanti-nantikan.

Lydian yang berumur 13 tahun pada Mac lalu dinobatkan sebagai pemenang pertandingan ‘The World’s Best 2019’ sekali gus membawa pulang hadiah kemenangan wang tunai AS$1 juta (RM4.3 juta).

Berasal dari Chennai, India, beliau mempamerkan persembahan epik dengan bermain dua buah piano serentak hingga menerima tepukan gemuruh secara standing ovation daripada penonton dan juri.

Hakikatnya adalah amat mustahil untuk melihat individu terhebat ini membuat persembahan bersama-sama tetapi pengajur di Malaysia telah berjaya mendapatkan mereka untuk beraksi demi kepuasan peminat di negara ini.

Sudah tentu antara impian penganjuran konsert ini juga adalah untuk membantu merancakkan lagi sektor pelancongan negara dengan apatah lagi kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 selain daripada tanda sokongan padu kepada Tourism Malaysia dalam menarik lebih ramai pelancong.

Bukan sahaja dapat berhibur dengan legenda muzik India Selatan yang di kagumi sebaliknya juga mengenali Malaysia, melancong ke tempat menarik selain membeli belah dan banyak lagi aktiviti menarik lain.

Abdul Malik ketika bercakap dengan MalaysiaGazette sebentar tadi melahirkan rasa, begitu teruja dengan kolabrasi ini yang juga akan menampilkan bintang-bintang lain termasuk SPB Charan dan Priyangka juga artis lain dari India serta peluang diberikan kepada artis tempatan.

“Tentunya kami sangat teruja apatah lagi seperti yang umum tahu tentang rekod Malik Streams Corporation sebagai sebuah syarikat produksi perfileman Hindi dan Tamil yang menayangkan filem-filem box office berkenaan di Malaysia sebelum ini seperti Kabali, Petta, Singam 3, Dilwale dan banyak lagi.

“Kita juga malah diri saya sendiri tidak akan sesekali lupa dengan pembikinan filem ‘Kabali’ dengan hadirnya Superstar Rajinikanth yang melonjakkan nama Malaysia ke arena dunia satu ketika dulu, pastinya Malik Streams juga sedikit sebanyak diberikan pengiktirafan hebat.

Pengarah Urusan Malik Streams Corporation Sdn Bhd, Datuk Abdul Malik Dasthigeer

“Begitu juga dengan kolabrasi kami dengan Raaghav Productions yang mempunyai pengalaman luas dalam menganjurkan pelbagai konsert berkolaborasi dengan artis-artis terkenal dunia.

“Apatah lagi dengan penampilan SPB buat kali kedua dendangkan kita dengan lagu menusuk jiwa hasil karangan composer Illayaraja, juga dengan kehadiran Lydian bawa seribu satu makna kepada semua. Semua teruja, saya lagi teruja dan tidak sabar sebenarnya.

“Ambil maklum, konsert ini akan diadakan di Dewan Plenary, Kuala Lumpur Convention Center (KLCC) di sini Sabtu ini dari pukul 3 petang sehingga 7 malam, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan sendiri kehebatan yang tidak cukup dengan kata-kata sahaja,” katanya.

Para peminat berpeluang membeli tiket konsert tersebut melalui laman www.galactix.asia atau untuk pertanyaan boleh menghubungi DK di talian 010-4071526.

Maklumat lanjut konsert boleh diiikuti di:

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast