Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bercakap semasa sesi " Menjadikan Malaysia Yang Terbaik" pada National Economic Forum 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 29 OGOS 2019

KUALA LUMPUR- Tiada keperluan bagi kerajaan untuk menubuhkan pasukan pengurusan krisis bagi mengambil langkah awal dalam menghadapi kemungkinan kelembapan ekonomi.

Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Malaysia sudah mempunyai Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN) yang turut dianggotai oleh Tan Sri Rafidah Aziz.

“Sekiranya ada krisis, bolehlah ditubuhkan (pasukan pengurusan krisis).

“Ketika ini, kita sudah mempunyai MTEN yang mana beliau adalah ahlinya dan pastinya, kita boleh mendengar pandangan yang diutarakan oleh mereka.

“Kita semua mesti faham bahawa semua ini (kelembapan ekonomi) adalah faktor luaran, bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi di negara-negara lain juga.

“Kita tahu apa penyebabnya. Kerajaan cuba mengurangkan kesan daripada kelembapan ekonomi dan berharap ada jalan penyelesaian,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi khas sempena Forum Ekonomi Kebangsaan 2019 di sini hari ini.

Hari ini, The New Straits Times melaporkan, Rafidah berkata, kerajaan mesti menubuhkan sebuah pasukan pengurusan krisis untuk mengambil langkah awal dalam menghadapi kelembapan ekonomi.

Menurut Rafidah, kelembapan ekonomi yang dipacu oleh faktor luaran perlu dihadapi dengan langkah-langkah proaktif.

Dalam pada itu, ketika menjawab mengenai persediaan kerajaan, Guan Eng berkata, kerajaan sedang berusaha untuk meningkatkan keyakinan pelabur.

Jelasnya, tiada siapa tahu sejauh mana cabaran ekonomi akan berlaku dan situasi tersebut telah menyebabkan ketidaktentuan sekali gus menjejaskan keyakinan pelabur.

“(Saya harap) untuk jangka panjang keadaan akan jadi lebih baik. Biasanya apa yang naik pasti akan turun begitu juga apa yang turun pasti akan naik semula.

“Mungkin akan ambil masa setahun atau 18 bulan, (kerajaan) akan menambah dasar-dasar untuk mengembangkan (ekonomi) dan kami juga memberi pertimbangan kepada sebarang kecemasan.

“Ini adalah bajet yang paling sukar untuk dirangka,” katanya lagi.

Tambahnya, beliau yakin Malaysia berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran kembali pulih seperti yang digariskan kerajaan dalam pelan tiga tahunnya sebaik sahaja mengambil alih pentadbiran negara.

Terdahulu, Guan Eng mengumumkan Jawatankuasa Kerjasama Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang bermesyuarat buat kali pertama semalam, berjaya meluluskan pelaburan bernilai RM2.2 bilion.

Pelaburan tersebut dibuat oleh tiga syarikat yang terdiri daripada dua syarikat tempatan dan sebuah syarikat asing.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast