Suhakam

KUALA LUMPUR – Penting untuk mengakui kewujudan kes mangsa-mangsa kehilangan paksa bagi menggambarkan komitmen Malaysia dalam menangani isu tersebut, kata Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).

SUHAKAM percaya ratifikasi Konvensyen Antarabangsa bagi Perlindungan Semua Orang Daripada Kehilangan Yang Dipaksa (ICPPED) bukan semata-mata untuk memastikan agar perlindungan undang-undang dan remedi diberikan kepada mangsa-mangsa kehilangan paksa.

“Tetapi ia juga menggambarkan komitmen bahawa kehilangan paksa tidak diterima di Malaysia,” kata suruhanjaya itu dalam kenyataan sempena memperingati 30 Ogos sebagai Hari Antarabangsa Mangsa-mangsa Kehilangan Paksa.

Menurut kenyataan itu lag, pada ketika ini, tiada undang-undang atau peraturan-peraturan yang berkaitan dengan kehilangan paksa di Malaysia dan peruntukan terhadap penyelesaian sekiranya berlaku kehilangan yang melibatkan Kerajaan atau agensinya.

Kes-kes dakwaan kehilangan paksa seringkali diklasifikasikan sebagai kes-kes orang hilang, pemelarian atau penculikan.

“Oleh yang demikian, tiada data rasmi mengenai jumlah kes-kes sebegini di Malaysia,” katanya.

Suruhanjaya itu berkata, selaras dengan mandat berkanun untuk melindungi dan mempromosikan hak asasi manusia, SUHAKAM telah menamatkan Siasatan Awam berhubung Kehilangan Pastor Raymond Koh dan Amri Che Mat.

Penemuan siasatan boleh diakses oleh orang awam serta media di laman web SUHAKAM setelah laporannya dilancarkan pada 3 April lalu.

Melalui Siasatan Awam tersebut, SUHAKAM memutuskan bahawa kehilangan paksa sememangnya berlaku.

“SUHAKAM maklum bahawa kerajaan telah menubuhkan pasukan petugas khas yang bertujuan untuk menjalankan siasatan.

“Bagaimanapun, SUHAKAM kesal kerana terma rujukan pasukan petugas khas ini tidak diketahui umum. SUHAKAM sedang mengikuti perkembangan siasatan ini dengan teliti,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast