Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Sani Harul berkata, mayat itu ditemui sekitar 6 pagi tadi, di bahagian hadapan rumah dua tingkat di situ.
“Rumah itu didiami pasangan suami isteri warga emas dan kita percaya mayat adalah wanita berdasarkan barang kemas yang dipakai mangsa. Kita percaya mangsa terjatuh dari balkoni rumah tersebut.
“Setakat ini, kita masih mengesan suami mangsa, yang disyaki turut terperangkap dalam kebakaran itu,” katanya kepada pemberita semasa ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.
Mohd Sani berkata, pihaknya sedang menunggu bantuan unit anjing pengesan (K(K9) bagi tujuan itu.
Pada kejadian 1.30 pagi tadi, sebanyak 32 premis bangunan yang dianggarkan berusia lebih 100 tahun musnah dalam kebakaran yang dikatakan berpunca dari salah sebuah rumah di situ.
Mohd Sani berkata, sebanyak lima jentera dengan kekuatan 67 pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian, terdiri daripada dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan, Indera Mahkota, Taman Tas dan Gebeng.
“Keadaan rumah yang diperbuat daripada kayu dan kedudukan yang rapat menyebabkan api marak dengan cepat serta menyukarkan operasi untuk mengawal kebakaran.
“Bagaimanapun, kami menerima bantuan yang sangat baik daripada pasukan bomba sukarela di sini dan penduduk tempatan bagi mendapatkan bekalan air daripada sungai berhampiran,” katanya.
Mohd Sani berkata, kebakaran yang melibatkan 20 rumah kedai, 11 rumah kongsi setingkat dan sebuah perpustakaan berjaya dipadamkan pada 3.45 pagi, namun punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Sementara itu, Pegawai Daerah Kuantan Tengku Datuk Nor Asmaliza Ku Lah berkata semua mangsa yang terlibat akan ditempatkan di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Sungai Lembing buat sementara waktu. – MalaysiaGazette