KUALA LUMPUR – Percanggahan pendapat dalam kalangan pemimpin tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) secara terbuka di media sosial dan media perdana sebenarnya tidak membuktikan wujudnya perbalahan di dalam parti itu.
Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil menegaskan, Keadilan sentiasa meraikan semua pendapat dan tidak pernah sesekali ‘mendera’ dan mengekang pimpinannya daripada memberi pendapat.
“Saya rasa tak, ini satu persepsi, mungkin ada yang merasakan bila sesetengah pimpinan mengeluarkan kenyataan, mungkin ini adalah bukit perbalahan
“Bagi saya itu tidak menunjukkan wujud perbalahan, mungkin perbezaan pendapat, itu adalah normla baru dalam demokrasi yang mana Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri menyebut Keadilan lebih kepada bersikap terbuka.
“Kita mungkin tidak mudah menghakimi dan kita tidak akan sesekali menzalimi pimpinan yang inign bersuara,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Hari Pendaftaran Pelajar Baharu di Kolej Kediaman Ketujuh (Za’ba), Universiti Malaya (UM), di sini, hari ini.
Sebelum ini, status surat yang dihantar oleh Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin bagi meminta presidennya, Anwar mengadakan perbincangan dalaman membabitkan isu PKR masih tergantung.
Bagaimanapun Jumaat lalu, Anwar mengakui bahawa satu daripada tiga surat yang dihantar oleh Naib Presiden PKR itu telah pun dijawab oleh beliau sendiri.
Pada 28 Ogos lalu media melaporkan bahawa keengganan Anwar membalas surat yang dikirim menjadi punca Zuraida tidak menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), minggu lalu.
Dalam pada itu, Fahmi menegaskan kehadiran pimpinan semua peringkat dalam mesyuarat Keadilan sama ada MPP mahupun Biro Politik berada dalam keadaan yang memuaskan.
Beliau berkata, parti berkenaan tidak pernah memberi peringatan tentang kehadiran ke mesyuarat parti kepada pihak tertentu sahaja bahkan pimpinan semua peringkat turut diberi peringatan.
“Peringatan diberikan kepada semua pimpinan untuk hadir, malah mesyuarat Biro Politik minggu lalu di mana Datuk Menteri Besar Selangor ada datang memberikan taklimat tentang beberapa perkara
“Saya rasa dari semasa ke semasa pimpinan jika perlu berbincang, mereka ada ruang untuk mengadakan pertemuan ringkas atau mendapatkan maklumat secara terus.
“Apa pun dari segi disiplin parti menegaskan, pimpinan perlu mengutamakan mesyuarat-mesyuarat parti tidak kira MPP mahupun Biro Politik,” katanya.
Fahmi turut mendedahkan beliau sendiri diberi peringatan bukan sahaja perlu hadir mesyuarat parti di peringkat Pusat bahkan kawasannya sendiri perlu menjalankan mesyuarat di peringkat Cabang Lembah Pantai.
“Kita tegaskan sampai ke peringkat Cabang, saya sendiri sebagai Ketua Cabang Lembah Pantai, ada terima peringatan, perlu mengadakan mesyuarat.
“Alhamdulillah kita akan mengusahakan yang terbaik, ini adalah peringatan am kepada semua pimpinan bukan kepada mana-mana satu pimpinan khusus,” katanya lagi. – MalaysiaGazette