Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan diiringi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (tiga kanan), Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof (kiri) beramah mesra bersama Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa, Shaykh Abdullah Shaykh Al-Mahfoudh Bayyah dan Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan, Prof Datuk Ir Dr Zaini Ujang (dua kanan) pada Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 01 SEPTEMBER 2019

PUTRAJAYA – Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan bagi tahun 1441H/2019M.

Bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu menerima hadiah berbentuk wang tunai berjumlah RM100,000, sumbangan daripada Yayasan Ubaidi berjumlah RM20,000, medal dan sijil penghargaan.

Tokoh Antarabangsa Maal Hijrah 1441H/2019M pula dianugerahkan kepada Pengerusi Majlis Fatwa Emiriah Arab Bersatu, Syaykh Abdullah Syahkh Al-Mahfoudh.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan hadiah kepada dua penerima itu pada majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Turut berangkat mencemar duli, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof.

Dalam pada itu, pemilihan Zaini berdasarkan sumbangannya sebagai ahli akademik yang prolifik dan pemimpin perkhidmatan awam pelbagai.

Beliau menjadi Naib Canselor universiti awam termuda dalam sejarah Malaysia ketika berusia 43 tahun.

Bersama pasukan pengurusan yang mantap, Zaini telah memimpin pelbagai inisitiaf seperti program pengantarabangsaan yang membolehkan UTM menjadi universiti pilihan kepada lebih 5,000 orang pelajar antarabangsa setiap tahun dalam tempoh 2010 hingga 2015.

Dengan strategi yang fokus, UTM telah meletakkan nama Malaysia mekar harum di persada universiti yang terkenal di dunia menerusi kerjasama akademik dan penyelidikan termasuk Harvard, MIT, Cambridge, Oxford, Imperial College London, Kyoto, Tokyo dan Tuskuba.

Ketika itu, UTM telah memulakan inisiatif mengumpulkan dana pembiayaan untuk Tabung Endowmen UTM pada 2010 yang menjadi sumber kewangan ketiga kepada universiti, selain geran kerajaan dan pendapatan terutamanya yuran pengajian.

Dalam tempoh kurang 10 tahun, tabung itu telah mencecah RM102 juta pada Julai 2019 iaitu pembiayaan yang tertinggi dalam kalangan universiti awam ketika ini.

Ketika menjadi Ketua Setiausaha pula, Zaini mempengerusikan jawantankuasa teknikal pengubalan Higher Edcuation Blue Print 2016 hingga 2025 dan Green Technology Master Plan 2017-2030.

Beliau juga menjadi Pengerusi Majlis Alam Sekeliling Malaysia (EQC) 2009-2015 dan ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sejak ditubuhkan pada 2006 sehingga 2014.

Pada peringkat antarabangsa, Zaini telah dilantik Naib Presiden Pertubuhan Air Antarabangsa (2004-2006), Pengerusi Kumpulan Pakar Bagi Negara Membangun, Pertubuhan Air Antarabangsa (2001-2004) dan Ahli Jawatankuasa Penerbitan Pertubuhan Air Antarabangsa (2000-2004).

Beliau juga menjadi editor jurnal terkemuka, Water Science and Technology (IWA Press, Netherlands) sejak 2000 sehingga 2016.

Zaini turut dilantik sebagai Penasihat Kanan kepada Prince Khalid bin Sultan Chair on Water Research, King Saud bin al-Salik al Ania.

Sejak September 2019, beliau dilantik sebagai Chairman, Accreditation Board, Chartered Institute of Water and Environmental Management yang ditubuhkan pada 1896 di London.

Sepanjang kariernya, Zaini merupakan penerima pertama Anugerah Merdeka 2009 atas sumbangan besar kepada pengurusan, penyelidikan, pengajaran dan advokasi terhadap pelestarian alam sekitar terutamanya berkaitan pengurusan air dan air sisa, pengubalan dasar dan pembangunan teknologi.

Zaini turut menerima pelbagai anugerah dan pingat seperti Anugerah Air Malaysia (2004), Anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Sembilan 2010, ljazah Kehormat Doktor Sains dari Newcastle University (UK) pada 2018 dan Profesor Pelawat Kehormat Imperial College London pada 2012.

Berusia 54 tahun, Zaini berkahwin dengan Datin Seri Dr Zainah Moktar dan mereka dikurniakan empat cahaya mata. – MalaysiaGazette