Mangsa Syafwan Sukri dan Muhammad Dzulhaziqi Mohd Azmi, kedua-duanya berusia 19 tahun merupakan penuntut semester tiga jurusan sains komputer.
KUANTAN – Dua penuntut Kolej Matrikulasi Pahang yang ditemukan lemas di Air Terjun Berkelah di sini hari ini, dikatakan sedang ‘menguji kedalaman’ kawasan tengah air terjun itu.

Kejadian yang dipercayai berlaku pada 10.15 pagi itu mengorbankan Syafwan Sukri dan Muhammad Dzulhaziqi Mohd Azmi, kedua-duanya berusia 19 tahun dan merupakan penuntut semester tiga jurusan sains komputer.

Rakan mangsa, Jad Jafni Jawahir, 19, berkata mereka berlima mula mandi sekitar 10 pagi, dengan persetujuan semua untuk hanya berada di bahagian tepi air terjun yang lebih cetek.

“Kami mencuba kedalaman air dengan berjalan bersama-sama sambil memegang tangan. Bagaimanapun, mereka tiba-tiba melepaskan pegangan tangan dengan kami untuk mencuba kedalaman air di bahagian tengah.

“Mereka berpegang tangan dan tiba-tiba saya mendengar Muhammad Dzulhaziqi berkata tempat ini dalam sebelum dia tergelincir dan dilihat terkapai-kapai,” katanya kepada pemberita semasa ditemui di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, hari ini.

Jad Jafni berkata Syafwan cuba untuk membantu rakannya namun dia juga ditarik arus menyebabkan dia bersama pengunjung lain cuba untuk menyelamatkan mangsa, namun gagal.

Dia berkata mereka berlima sebelum ini kerap keluar bersama pada hujung minggu, namun ini merupakan kali pertama ke air terjun memandangkan sebelum ini hanya bersiar-siar di bandar Kuantan.

“Kami bertolak pagi tadi dengan menaiki kereta milik keluarga rakan yang tinggal di Kuantan. Saya tak menyangka kejadian ini boleh berlaku kerana kami tahu Muhammad Dzulhaziqi mahir berenang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata kedua-dua mangsa dipercayai lemas di tingkat satu air terjun itu pada pukul 10.15 pagi, sebelum mayat mereka ditemukan pada 12.36 tengah hari.

Beliau berkata Syafwan berasal dari Felda Kampung Sertik, Karak di Bentong manakala Muhammad Dzulhaziqi beralamat di Pengkalan Chepa, Kelantan.

Operasi mencari dan menyelamat dibantu oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas di sini.

— BERNAMA