KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes berprofil tinggi, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membabitkan penyelewengan dana sebanyak RM2.3 bilion oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terus sambung hari ke-3 dengan saksi ke-7 pagi ini.
Walaupun perbicaraan sepatutnya bermula sejak 9 pagi tadi namun sehingga kini kelibat Najib belum kelihatan dalam bilik perbicaraan walaupun pasukan peguam pendakwa dan bela sudah sampai.
Hari ini, saksi ke-7, Penolong Pendaftar Syarikat, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Rafidah Yahaya dijangka menyambung keterangan, selain mengesahkan pelbagai dokumen berkaitan syarikat 1MDB itu.
Khamis lalu, Rafidah telah mengesahkan sebanyak 152 dokumen daripada 177 dokumen di bawah Akta Syarikat antaranya pertukaran nama syarikat, nama pengarah dan setiausaha syarikat, penukaran syer dan pindaan memorandum syarikat yang dirujuk kepadanya pada perbicaraan kes itu.
Ketika itu, sebelum Rafidah memulakan keterangan pada sebelah petang, ketua pasukan pendakwaan, Datuk Seri Gopal Sri Ram memohon untuk menangguhkan sahaja perbicaraan kepada hari ini kerana saksi memerlukan masa lebih panjang namun dibantah hakim.
Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah enggan menurut kehendak pasukan pendakwa raya kerana tidak mahu ‘masa terbuang’ begitu sahaja.
Ini kerana, perbicaraan telah ditangguhkan bagi memberi laluan kepada prosiding SRC International sebelum ini.
Rafidah juga mendedahkan sebelum ini beberapa nama penting yang dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) dan pengarah syarikat dalam anak-anak syarikat 1MDB telah disebut dalam kes dana 1MDB.
Antaranya ialah Nik Faisal Ariff Kamil, yang juga bekas CEO SRC International Sdn Bhd, Datuk Wan Ahmad Shihab Ismail Wan Ismail, pegawai khas kepada Perdana Menteri ketika itu (Najib) dan Arul Kandasamy.
Mahkamah Tinggi juga diberitahu tentang penukaran nama anak-anak syarikat 1MDB, pengarah syarikatnya, alamat syarikat antaranya Powertek Investment Holdings Sdn Bhd, Powertek Energy Sdn Bhd, Merpati Energy (Langat) Sdn Bhd and Mastika Lagenda Sdn Bhd.
Selain itu, Rafidah juga mendedahkan Najib adalah individu yang telah menandatangani borang pertukaran nama syarikat bagi menggantikan nama Lembaga Pelaburan Terengganu atau (TIA) kepada 1MDB pada 25 September 2009.
Prosiding akan disambung sebentar lagi selepas selesai pengurusan kes sebutan semula kes lucut hak harta yang disita daripada Obyu Holding Sdn Bhd di hadapan hakim Collin ketika ini. –MalaysiaGazette