KUALA LUMPUR – Saksi ke-8 perbicaraan kes berprofil tinggi, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi, ahli perniagaan yang kini dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low mula bertindak ‘agresif’ dalam memberi arahan kepada pegawai Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Pegawai yang dimaksudkan di PMO itu termasuk saksi, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin yang merupakan bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Setiausaha Sulit (KSS), Allahyarham Datuk Azlin Alias.
Menurut Amhari juga bekas pegawai di Bank Negara Malaysia (BNM), arahan daripada Jho Low ketika beberapa perjumpaan di Hotel Prince dianggap ‘berlebihan’.
“Setiap arahan atau tindakan yang diberikan oleh Jho Low perlu dilaksanakan dengan kadar segera dan dalam masa yang sangat singkat. Kadangkala, tindakan tersebut sangat sukar untuk diselesaikan dengan cepat namun terpaksa dilaksanakan juga.
“Sebagai contoh, senarai penamaan individu bagi jawatan yang disenaraikan oleh Jho Low terlebih dahulu wujud sebelum dihebahkan kepada umum.
“Sepatutnya ia memerlukan perbincangan dengan Datuk Seri Najib terlebih dahulu tetapi pastinya akan diluluskan juga walaupun cadangan itu datangnya dari Jho Low.
“Kadangkala saya lihat reaksi Datuk Azlin seperti terkejut, angkat kening seperti pelik dan ada juga mempersoalkan kembali perkara yang dibincangkan kerana perkara-perkara itu agak luar biasa untuk dilaksanakan seperti mempercepatkan proses kelulusan kewangan.
“Tetapi selalunya Jho Low tenang sahaja, kerap tersenyum dan minta kami hubungi Datuk Seri Najib untuk kepastian jika mahu,” katanya.
Amhari menyambung, setiap arahan yang dikeluarkan oleh Jho Low selalunya akan dilaksanakan oleh Azlin kecuali ada satu dua spesifik kepadanya.
Dalam pada itu, Amhari mengakui Allahyarham yang meninggal dunia pada tahun 2014 ketika helikopter yang membawanya dari Pekan terhempas di Semenyih pernah beberapa kali melahirkan rasa tidak senang dengan tindak tanduk Jho Low.
“Ketika saya teman Datuk Azlin menghisap rokok tanpa kehadiran Jho Low pada masa itu, beliau akan suarakan kemusykilannya. Sejurus kemudian, beliau akan menyemak kembali arahan Jho Low itu dengan Datuk Seri Najib, daripada gaya memang semuanya sudah sedia maklum.
“Hasil counter check, perkara-perkara dibincang dengan Jho Low sudah diketahui oleh Datuk Seri Najib sebenarnya. Sebagai contoh, senarai nama International Board Advosir (BOA) 1MDB yang disenaraipendek oleh Jho Low.
“Selain itu, Jho Low juga akan berikan arahan untuk melupuskan setiap dokumen yang dibincangkan kerana perkara-perkara itu adalah sulit selain untuk elak semua itu tidak mahu sampai kepada orang lain.
“Ada kalanya, Datuk Azlin akan berikan kepada saya salinan dokumen milik beliau untuk saya simpan selepas pertemuan dengan Jho Low. Selain arahan lupus dokumen, Jho Low juga selalu ingatkan kami untuk padamkan sebarang perbualan termasuk dalam Black Berry Messenger (BBM) dari masa ke semasa,” tegasnya. –MalaysiaGazette