Datuk Azlin Alias

KUALA LUMPUR – Dengan perwatakan lemah lembut dan jarang  meninggikan suara mahupun marah, Allahyarham Datuk Azlin Alias akhirnya ‘hilang sabar’ apabila isu penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) semakin kecoh diperkatakan.

Malah saksi ke-7 perbicaraan kes berprofil tinggi itu, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin mendedahkan sejurus selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib, Alias pulang ke pejabatnya dalam keadaan tertekan.

Kata Amhari, Azlin meninggikan suara kepadanya sambil melepaskan rasa tertekan dan berkata; “Duit 1MDB lah Bro’.

“Saya tidak berapa ingat bulan Januari atau Februari 2015, terdapat satu kejadian di mana Allayarham Datuk Azlin berjumpa dengan Datuk Seri Najib Tun Razak di pejabatanya di tingkat 5 sebelum balik ke pejabatnya.

“Beliau dalam keadaan sangat tertekan dan lepaskan tekanan dengan meninggi suara sambil berkata, ‘Itu duit 1MDB la bro’ kepada saya sambil hempas fail yang ada di tangannya ke atas meja.

“Situasi tersebut saya akan ingat sampai bila-bila kerana Datuk Azlin yang saya kenali adalah seorang yang tenang, sopan dan tidak pernah bertindak sebegitu di hadapan saya, beliau juga bukan seorang yang tinggikan suara,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika membacakan penyataan saksinya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib.

Amhari merupakan seorang daripada saksi penting pada hari ketiga perbicaraan kes Najib yang didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama.

Dalam pada itu, Amhari juga mendedahkan keakraban Jho Low Teak atau dikenali Jho Low dengan bekas Perdana Menteri itu.

Jelasnya, ahli perniagaan dalam buruan itu amat bijak memanipulasi pegawai Malaysia mahupun pegawai luar negara dengan pengetahuan Najib.

Selain itu, Amhari juga memberitahu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah bahawa Azlin menjadi lebih tertekan berikutan penyiaran laporan anak tiri Najib, Riza Aziz melakukan pembelian harta menggunakan dana 1MDB.

“Akibat laporan-laporan oleh New York Times, Wall Street Journal (WSJ) seperti portal domestik seperti Sarawak Report dan Malaysian Insider, keadaan kecoh di PMO (Pejabat Perdana Menteri) sendiri.

“Pada ketika itu, sudah terbongkar bukti-bukti Riza Aziz membeli hartanah mewah di Amerika Syarikat dan membiayai filem Hollywood ‘Wolf of Wall Street’ oleh Red Granite yang dikatakan menggunakan dana 1MDB.

“Ini sekaligus memberi kesan langsung kepada Najib kerana Riza adalah anak tirinya,” jelas Amhari.

Perbicaraan bersambung esok dengan Amhari menyambung keterangan beliau. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast