KUALA LUMPUR – Bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa dirinya serta Allahyarham Datuk Azlin Alias telah dimanipulasi oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low ketika membuka akaun bank BSI.
Menurut Datuk Amhari Efendi Nazaruddin yang merupakan saksi perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jho Low bersama-sama dua wakil bank BSI yang salah seorangnya dikenali sebagai Yvonne memanipulasi pembukaan akaun tersebut.
“Saya tidak ingat bila perjumpaan itu berlaku tetapi ia diadakan di sebuah bilik hotel yang saya tidak ingat namanya. Setibanya kami di situ, Jho Low telah pun berada di dalam bilik bersama wakil bank BSI bernama Yvonne yang diperkenalkan kepada kami oleh Jho Low.
“Jho Low telah menjelaskan semua proses pembukaan akaun kepada Datuk Azlin dan saya. Oleh itu saya hanya mengikut sahaja apa yang Datuk Azlin lakukan. Yvonne kemudian membuat proses membuka akaun dan memaklumkan kepada kami bahawa proses membuka akaun akan mengambil masa sewajarnya untuk kelulusan.
“Kesemua maklumat, cara pembukaan, struktur dan sebagainya diuruskan sepenuhnya oleh Jho Low, saya telah serahkan beberapa dokumen seperti salinan pasport dan dokumen yang mengesahkan alamat kediamannya selain menandatangani beberapa borang.
“Tindakan ini saya lakukan kerana hanya mengikut sahaja apa yang dilakukan oleh Datuk Azlin. Kami telah dimanipulasi oleh Jho Low dengan bantuan Yvonne dan seorang lagi pegawai BSI yang saya tidak ingat namanya yang turut berada di situ ketika itu,” dakwanya.
Saksi kemudian menjelaskan, pada satu perjumpaan sulit lain di antara beliau, Jho Low dan Datuk Azlin, Jho Low memaklumkan bahawa akaunnya tidak berjaya dibuka namun alasan gagal membuka akaun itu tidak diberitahu.
“Namun akaun Datuk Azlin berjaya dibuka. Saya berasa lega dan saya tidak membuat tindakan susulan bagi membolehkan akaun itu dibuka. Pada satu perjumpaan yang lain pula, Jho Low memberitahu akaun BSI saya kini telah berjaya dibuka.
“Saya juga tidak tahu apa yang telah dilakukan oleh Jho Low sehingga akaun saya dapat dibuka selepas itu. Saya berasa pelik bagaimana akaun ini berjaya dibuka sedangkan saya tidak ada membuat apa-apa tindakan susulan selepas dimaklumkan oleh Jho Low yang akaun ini gagal dibuka sebelum ini.
“Selepas Jho Low balik, Datuk Azlin berpesan kepada saya supaya jangan sesekali menggunakan wang itu kerana itu bukan wang kami. Tambahan pula Jho Low yang mengawal dan menguruskan akaun itu dan kami tidak boleh menguruskan akaun itu sendiri. Datuk Azlin turut berpesan supaya saya turutkan sahaja arahan dan ‘just play along’.
“Proses membuka akaun mengambil masa kurang daripada setahun dan kami hanya diberitahu berhubung akaun ini hanya apabila Jho Low yang memberitahu sendiri kepada kami tanpa kami tanya.
“Itupun biasanya adalah percakapan ‘one way’ dan Jho Low biasa bercakap begitu sekejap sahaja mengenainya tanpa ruang untuk kami bertanya apa-apa soalan,” baca Amhari lagi. –MalaysiaGazette