KUALA LUMPUR – GCE-Elmina Duathlon 2019 yang bakal berlangsung pada Ahad, 8 September 2019 ini dijangka meriah dengan penyertaan lebih daripada 1,500 peserta dari 21 buah negara dan pelbagai aktiviti rekreasi yang menarik.
Satu-satunya acara duathlon di atas lebuh raya di Malaysia yang dibuka kepada orang awam ini akan menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM20,000 akan memperlihatkan peserta bertarung tenaga di dalam acara berbasikal dan berlari di atas Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) sepanjang 22.65 km.
GCE-Elmina Duathlon 2019 juga akan dimeriahkan dengan aktiviti rekreasi yang sangat menarik untuk disertai oleh orang awam seperti pedal go kart, halangan bertali, wall climbing, flying fox, zorb ball dan inflatable maze challenge.
Selain dari itu, stesen radio terkenal tanah air turut dijadualkan untuk menyertai acara ini dengan menganjurkan siaran lintas langsung dan pengedaran cenderamata premier kepada pengunjung bertuah. Kesemua aktiviti ini akan dilangsungkan di Elmina Central Park.
Acara duathlon ini bukan sahaja terbuka kepada peserta yang telah berdaftar tetapi ianya dibuka kepada orang awam terutamanya yang mempunyai ahli keluarga yang menyertai acara duathlon, sekali hus ianya menjadikan GCE-Elmina Duathlon 2019 sebagai aktiviti keluarga yang sangat berfaedah.
Orang ramai di sekitar Lembah Klang dijemput hadir untuk memeriahkan karnival GCE-Elmina Duathlon 2019 dan sebarang maklumat mengenai acara ini sila layari Facebook Page di PROLINTAS Highways dan Twitter di @GCETrafik. – MalaysiaGazette