Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sambil diiringi Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Muez Abd Aziz (kiri) menunjukkan plakad " Kempen Beli Barangan Malaysia 2019 " pada Majlis Pra Pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia di NU Sentral, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 05 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Hanya 40 peratus rakyat tempatan yang membeli barangan buatan Malaysia.

Jumlah itu disifatkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai jumlah yang rendah meskipun ramai yang tahu tentang kempen berkenaan.

“Izinkan saya memetik kajian selidik yang telah dijalankan oleh Universiti Teknologi Malaysia 2015. Hasil mendapati 75 peratus rakyat tahu ada kempen beli barangan buatan Malaysia.

“Tapi tahap komitmen rakyat untuk membeli barangan buatan Malaysia (sebanyak) 41 peratus sahaja. Dorongan untuk membeli kurang,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Pra Pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia di sini hari ini.

Kempen itu akan diadakan menerusi sebuah karnival akan berlangsung pada 30 Oktober sehingga 3 November 2019 dan diadakan di Dataran Angsana Johor.

Penyertaan terdiri daripada peruncit-peruncit di Malaysia, syarikat minyak, syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pelbagai sektor peniaga makanan, minuman, perkhidmatan, pakaian, kosmetik dan barangan elektrik.

Tujuannya adalah untuk meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap barangan dan perkhidmatan buatan Malaysia selain merangsang pertumbuhan ekonomi domestik.

“Selain itu kempen ini untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kualiti produk dan perkhidmatan buatan Malaysia selain membantu pengusaha tempatan dalam memasarkan produk mereka,” katanya lagi.

Mengulas lanjut ketika sidang media, Saifuddin berkata, Johor sebagai lokasi pilihan kerana lokasinya berpotensi menerima kunjungan ramai selain mengambil kesempatan kedudukannya bersebelahan dengan Singapura.

“Kita ada 14 negeri, apa pun pemilihan lokasi sudah tentu kita melihat potensi sambutan dan kita juga melhat bagaimana ianya menjadi satu lokasi strategik bukan sahaja kerana bersempadan negara jiran yang kuasa beli rakyatnya lebih baik dari kita,” ujarnya.- MalaysiaGazette