Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap pada Majlis Pra Pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia di NU Sentral, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 05 SEPTEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Orang Melayu yang pergi ke Mekah pun membeli barangan daripada pelbagai negara termasuk China dan Hong Kong.

Itu kata Kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dipercayai merujuk kepada gerakan kempen memboikot barangan bukan Islam.

Menurutnya, Mekah merupakan kawasan perdagangan yang pesat menempatkan peniaga daripada pelbagai negara.

“Hari ini ini satu dunia mendatangi Mekah tidak kira musim dan dengan perniagaan (melibatkan) semua barang. Ada barang dari satu dunia di situ. Siapa yang paling banyak beli barang di Mekah? Orang Melayu.

“Beli ketayap made in China, beli pengering rambut made in Jepun di Mekah,” katanya ketika menyampaikan ucapan pra pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut pada sidang media, Saifuddin tidak menyokong mana-mana kempen selain daripada Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia yang terdiri daripada peniaga berbilang kaum dan agama.

“Saya mendokong penuh Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia. Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia. Barangan orang Malaysia ini ada orang Sabah, orang Sarawak, Iban, Kadazan, Cina, India ada orang Asli saya sokong semua sekali,” katanya lagi.

Tambah Saifudin, fokus yang sepatutnya diberikan adalah produk buatan tempatan yang dapat membantu peningkatan ekonomi negara.

“Saya lebih selesa melihat bahawa fokus adalah Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia tak kira yang buat itu bangsa apa atau agama apa sebab kalau kemakmuran dalam bidang ekonomi, perniagaan ini berkembang, rakyat Malaysialah yang akan mendapat kebaikannya,” katanya lagi.

Sebelum ini Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, gerakan boikot produk bukan muslim adalah tindakan golongan cetek pemikirannya.-MalaysiaGazette