Datuk Liew Vui Keong. foto SYAFIQ AMBAK, 27 OGOS 2019

PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori bagi mengkaji dan menasihatkan kerajaan mengenai cadangan dasar penghukuman alternatif.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong dalam satu kenyataan hari ini berkata penubuhan jawatankuasa khas itu adalah berdasarkan keputusan Jemaah Menteri pada 29 Ogos lepas.

Menurutnya, jawatankuasa khas itu akan dipengerusikan oleh seorang mantan ketua hakim negara.

Ahli-ahlinya terdiri daripada mantan Hakim Mahkamah Persekutuan, mantan pegawai Jabatan Peguam Negara, mantan pegawai kanan Jabatan Penjara, wakil Majlis Peguam, wakil Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), ahli akademik, pakar kajian jenayah dan wakil pertubuhan masyarakat sivil (CSO).

“Kerajaan mengambil langkah proaktif dan berhati-hati dengan menubuhkan jawatankuasa khas ini bagi memastikan hukuman alternatif ini adalah setimpal dengan kesalahan jenayah yang dilakukan serta mengambil kira implikasi dan kebajikan terhadap mangsa perlakuan jenayah tersebut,” kata Vui Keong.

Beliau berkata, pemansuhan hukuman mati mandatori akan memberi budi bicara kepada hakim untuk menjatuhkan hukuman mati atau hukuman alternatif berdasarkan fakta kes.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast