KUALA LUMPUR – Bakal menjadi pengacara pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32, Datuk AC Mizal elak mempersendakan fizikal sesiapan pun.
Ujarnya, tanggungjawab menjadi pengacara rancangan televisyen sangat besar dan perlu digalas dengan berhati-hati.
AC turut memberi jaminan tidak akan menjadikan rakan artis sebagai bahan lawak atau dipersendakan di atas pentas.
“Tanggungjawab hos rancangan televisyen sangat besar. Tetapi kalau kita memahami tugas, menjaga amanah sebaik mungkin dan tidak mempersendakan orang lain, insya-Allah kita dapat menjadikan sesuatu acara sebagai majlis diingati ramai.
“Dalam sejarah kerjaya saya, terutama selepas bergelar pengacara, seboleh-bolehnya saya elak daripada mempersendakan fizikal seseorang. Cuma, apabila bersama kawan rapat seperti Achey, kami terlepas juga. Maklumlah, masing-masing sudah lama saling mengenali dan akrab.
“Lawak spontan saya bagaimanapun lebih kepada situasi, iaitu bagaimana kita memberikan maklum balas terhadap sesuatu keadaan, bukan menjadikan seseorang atau rakan artis yang berada di depan mata sebagai sasaran,” katanya yang dipilih sebagai hos malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32.
Anugerah berprestij itu nanti akan diadakan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 22 September.
AC, 47, bakal bergandingan dengan artis sensasi, Elly Mazlein.-MalaysiaGazette