Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kapar tidak akan berdiam diri dan memebla nasib penjawat awam sekiranya sistem berpencen dan pengambilan kakitangan tetap dimansuhkan.

Abdullah Sani Abdul Hamid dalam masa yang sama memberi jaminan akan menggesa pihak yang berkenaan bertanggungjawab terhadap kakitangan awam sekiranya ia dilaksanakan.

“Seandainya cadangan ini dianggap sebagai langkah penjimatan belanja mengurus, maka saya dengan tegas katakan dan kerajaan harus ingat ia adalah tindakan yang paling zalim dan saya tidak akan diam membisu seribu bahasa.

“Seharusnya rundingan dengan segala pihak yang berkaitan wajib diadakan demi mencapai keputusan yang menjaga semua pihak di samping kebajikan pekerja terbela,” katanya menerusi kenyataan.

Pencen katanya, perlu diteruskan kerana ia merupakan tanda penghargaan kepada perkhidmatan kakitangan awam.

Baru-baru ini, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Borhan Dolah berkata, kerajaan mungkin tidak lagi mengambil kakitangan tetap dan berpencen menjelang 2020.

Menurutnya, mulai tahun depan, lantikan baru dalam perkhidmatan awam sebaliknya akan digantikan dengan skim lantikan kontrak yang ditambah baik.

Skim lantikan kontrak baru itu, yang kini sedang diperhalusi, dikatakan bakal menawarkan gaji lebih menarik serta kebajikan, perlindungan dan jaminan yang lebih baik.

Mengulas lanjut Abdullah menambah, perkara itu tidak patut dilaksanakan kerana ia dicadangkan oleh Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Walaupun sebenarnya ia telah dicadangkan sewaktu pentadbiran BN sebelum ini namun ia tidak patut dibangkitkan sekarang malah perlu dilenyapkan dari agenda kerajaan.

“Maksud penamatan skim ini bukanlah menghentikan pemberian pencen kepada penerima sedia ada, tetapi tiada lagi pengambilan pekerja sektor awam secara tetap dan ia digantikan dengan pengambilan secara kontrak.

“Ini adalah pengkhianatan kepada pekerja sektor awam di bumi Malaysia yang tercinta ini,’ katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast