Izhar Kahar
Izhar Kahar

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad berjaya membawa pembangunan sepanjang menjadi Perdana Menteri keempat, tetapi gagal memperkasakan modal insan Melayu dan jati diri ahli UMNO yang merupakan orang Melayu.

Justeru, apa yang Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri ketujuh sekarang dilaporkan berkata, ‘tuan apa kalau miskin, tiada kebolehan dan bergantung kepada kasihan orang lain’, adalah kenyataan seperti meludah ke langit.

Pengerusi Biro Ekonomi dan Pemerkasaan Agenda Bumiputera parti Putra Malaysia, Izhar Kahar berkata, kegagalan itu sepatutnya dipikul sepenuhnya oleh Dr. Mahathir kerana beliau antara perdana menteri paling lama memerintah iaitu 23 tahun.

“Bukankah Dr. Mahathir menjadi perdana menteri keempat paling lama sehingga 23 tahun, maka kebodohan dan kegagalan Melayu juga boleh disalahkan kepada beliau kerana paling lama memegang jawatan itu.

“Bahkan, beliau sendiri yang lalai dan asyik dengan projek mega, pencakar langit seperti Putrajaya, lebuh raya dan macam-macam lagi, sedangkan umum tahu siapa yang mendapat manfaatnya.

“Lesen telefon mudah mudah alih dan IPP pula siapa yang dapat konsesi, dan anak-anaknya sendiri mendapat belas kasihan dari siapa?,” soal beliau menerusi kenyataan kepada media hari ini.

Menurut Izhar yang juga Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Putra, bagi rakyat biasa, mereka hanya mampu membuat pinjaman dari Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Tekun dan geran industri kecil dan sederhana.

Katanya, kalau orang Melayu dibantu sebagaimana Dr. Mahathir membantu taikun seperti Vincent Tan, YTL dan Ananda Krishnan, pasti ramai Melayu kaya raya seperti Syed Mokhtar Bukhary atau mereka di sekeliling Tun Daim Zainuddin.

Rakyat khususnya orang Melayu mengutuk kenyataan Dr. Mahathir itu yang disifatkan sebagai menghina bangsa sendiri semata-mata untuk menutup kegagalan dirinya dan menyedapkan hati bangsa lain.

Jelas beliau, ketuanan Melayu yang dilaungkan bukan diukur dari segi kekayaan ekonomi semata-mata, ianya pernyataan deklarasi bahawa bumi Malaysia yang dulunya Persekutuan Tanah Melayu menyerah kedaulatan kuasa penuh Raja-Raja Melayu bagi mendirikan demokrasi berpalimen.

“Orang Melayu dan bumi Melayu dijajah lebih 500 tahun sejak kejatuhan Melaka 1511, namun sekadar 62 tahun baru merdeka dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pula sekadar 20 tahun dari 1970 hingg 1990 untuk memulihkan dan menaikan darjat Melayu.

“Kalau semua Melayu dapat jadi kroni kepada pemimpin atasan termasuk layanan sama seperti diperolehi tauke besar Cina yang mengecat bendera Malaysia menjadi jalur hitam, yang menghina anggota tentera atau mendapat hak monopoli gula atau lesen judi seperti Genting Highland, mungkin Melayu tidak merempat di bumi sendiri dan dihina oleh pemimpin Melayu sendiri.

“Perbuatan menghina bangsa sendiri dengan kata-kata kesat terhadap mereka yang dalam golongan memerlukan dan terpinggir akibat kemiskinan serta peluang pendidikan terbatas, tidak boleh diterima sama sekali dalam era milenia ini,” ujarnya.

Katanya, perbuatan itu terang terangan memberi ruang kepada bangsa lain bertepuk tangan dan turut serta menghina serta memandang rendah kepada orang Melayu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast