Keadaan di Abaco selepas dilanda Taufan Dorian, foto Reuters

NASSAU – Kerosakan akibat Taufan Dorian di Bahamas diibaratkan seperti dilanda bom nuklear.

Ketua Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID), Mark Green berkata, beliau telah membuat pemantauan udara untuk melihat sendiri kerosakan disebabkan taufan itu di Kepulauan Grand Bahamas dan Abacos.

“Terdapat beberapa bahagian Abaco dan Bahamas yang tidak menunjukkan banyak kerosakan, dan kemudian ada kelompok dan komuniti yang hancur, hampir seolah-olah bom nuklear telah jatuh ke atas mereka,” katanya.

USAID akan bekerjasama dengan kerajaan Bahamas untuk menyediakan tempat perlindungan kecemasan, rawatan perubatan, makanan dan air.

Taufan Dorian telah melanda Bahamas pada Ahad lepas pada kategori lima dengan kelajuan angin mencecah 300 kilometer sejam.

Setakat ini seramai 43 orang disahkan meninggal dunia tetapi angka itu dijangka meningkat.

Perdana Menteri, Hubert Minnis menyifatkan kehilangan nyawa “bencana dan kehancuran”.

Ribuan penduduk mendapat perlindungan di Nassau melalui kapal perlayaran dan kapal milik kerajaan.

Setakat ini 3,500 penduduk sudah berada di Nassau. Dua-dua pulau itu mempunyai 400,000 populasi.

Pihak berkuasa akan mengeluarkan mana-mana penduduk yang mahu mendapatkan penempatan sementara.

Di Marsh Harbour, Abacos, hampir 90 peratus infrastruktur rosak dan musnah.

Minnis berkata, setakat ini bekalan makanan dan air mencukupi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast