KUALA LUMPUR – Pelabur asing melupuskan sejumlah RM278.7 juta dalam ekuiti tempatan minggu lalu.

Ia merupakan minggu kelapan aliran keluar pelabur asing tetapi jualannya semakin berkurangan sejak empat minggu lalu.

MIDF Research, MIDF Amanah Investment Bank Berhad dalam laporan aliran dananya berkata, bursa dibuka pada hari Selasa selepas cuti hujung minggu yang panjang dengan menyaksikan jualan sebanyak RM122.8 juta.

Senario itu disebabkan sentimen kekal berhati-hati selepas Amerika Syarikat meningkatkan tarif ke atas barangan China sebanyak 15% pada 1 September 2019.

Selain itu, selera risiko telah diburukkan lagi oleh perjuangan antara Beijing dan Washington untuk menetapkan tarikh bagi meneruskan perbincangan perdagangan, mengheret bursa tempatan susut 1.3% untuk ditutup pada 1,591 mata pada hari yang sama.

Firma penyelidikan itu berkata, aliran keluar bersih asing selaras dengan pasaran lain seperti Korea Selatan, Thailand dan Taiwan.

Aktiviti jualan berkurangan RM100 juta kepada RM78 juta pada hari Rabu dipacu oleh keputusan Hong Kong untuk menarik semula undang-undang ekstradisi dan kesukaran Brexit, mendorong FBM KLCI meningkat sebanyak 0.5% pada hari sama untuk ditutup kepada 1,599.9 mata.

MIDF Research menambah, dana antarabangsa kembali ke bursa pada hari Khamis dengan membuat belian bersih RM2.75 juta dalam saham tempatan.

Sentimen keseluruhan dipacu dengan berita bahawa rundingan perdagangan antara China dan Amerika Syarikat akan dimulakan pada awal Oktober.

MIDF Research berkata, aliran bersih asing tidak bertahan lama selepas pelabur asing melupuskan RM80.6 juta pada hari Jumaat meskipun data pekerjaan Amerika Syarikat kukuh.

Katanya, setakat ini, dana antarabangsa telah melupuskan sejumlah RM7.2 bilion dalam bursa, ini menjadikan 65% daripada jumlah aliran keluar bersih asing tahun lepas iaitu RM11.69 bilion.

Dari segi penyertaan, pelabur asing mengalami penurunan mingguan terbesar sebanyak 27.2% dalam
nilai dagangan purata harian (ADTV) untuk mencapai di bawah nilai RM1.0 bilion iaitu RM996 juta. – MalaysiaGazette