Presiden parti Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai

PULAU PINANG – Orang muda khususnya remaja lepasan sekolah didapati tidak tahu apa-apa mengenai politik, malahan tidak tahu bahawa Tun Dr. Mahathir Mohamad sudah menjadi Perdana Menteri.

Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau sendiri berasa terkejut ketika berborak dengan seorang belia 20-an di sebuah kedai bubble tea di Ipoh dan mendapati orang muda tersebut tidak tahu siapa Perdana Menteri sekarang.

Beliau berkata, fenomena itu tidak menguntungkan partinya kerana generasi bubble tea tidak mungkin mengenali apa itu Gerakan jika mereka tidak tahu siapa Perdana Menteri.

Dominic berkata, partinya juga telah melancarkan “gerakan bubble tea” di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Ipoh dan Johor Bahru untuk mendekati golongan muda di kedai-kedai yang menjadi trend masa ini.

“Satu tamparan buat kami bukan kerana golongan muda langsung tidak pernah dengar nama Gerakan, tetapi ada seorang belia berumur 20 tahun yang tidak tahu PM kita ialah Dr. Mahathir,” katanya kepada Kwong Wah Yit Poh.

Dominic berkata, anak perempuannya yang berumur 18 tahun pula mengenali Gerakan kerana tahu ayahnya ialah presiden parti itu, namun begitu, dia tidak tahu parti-parti politik atau ahli politik yang lain.

“Satu-satu pengecualian bagi anak perempuan saya mungkin ialah Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor.

“Anak saya tahu serba sikit tentang Najib dan Rosmah kerana laporan negatif mengenai mereka yang amat meluas dalam media sosial. Selain daripada Najib dan Rosmah, anak saya susah nak namakan ahli politik yang lain,” katanya.

Kata Dominic, gerakan yang mengalami kekalahan teruk dalam pilihan raya lalu kini menyendeng telinga mendengar suara rakyat dan menggunakan mahadata (big data) untuk menganalis keadaan.

“Data menunjukkan orang muda tidak lagi bercita-cita menjadi doktor atau peguam, mereka lebih minat menjadi Youtuber sekarang,” katanya.

Beliau berpendapat, cara tradisional tidak lagi boleh digunakan untuk mendekati pengundi muda dan Gerakan perlu menggunakan kaedah inovatif untuk memperkenalkan parti itu kepada orang muda.

“Kami justeru mengadakan kelas latihan Youtuber yang menarik orang ramai menyertai kelas ini di samping memperkenalkan Gerakan kepada mereka.

“Kelas ini pada masa yang sama juga boleh digunakan untuk melatih ahli Gerakan supaya kami bersama-sama menuju kepada perjuangan melalui media sosial,” katanya.

Menurutnya, semua calon Gerakan pada masa depan harus belajar menjadi Youtuber terlebih dahulu sebelum bertanding dalam pilihan raya. – MalaysiaGazette