Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menggesa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng supaya memperincikan perbincangan yang dicapai antara Kementerian Kewangan dengan Japan Bank for International Cooperation (JBIC) berhubung terbitan Bon Samurai.

Ketuanya, Shahir Adnan berkata, Guan Eng juga perlu menjelaskan keadaan hutang negara yang semakin meningkat walaupun Bon Samurai yang pertama dibuat dengan alasan untuk melunaskan hutang negara yang terdahulu.

Katanya, DPIM melihat Guan Eng lebih prihatin berkenaan isu kempen mengutamakan barangan buatan orang Islam berbanding cakna ekonomi negara.

“Berdasarkan laporan Bank Negara, hutang negara pada akhir tahun 2017 adalah sebanyak RM687 bilion dengan peningkatan sebanyak 5.92 peratus berbanding akhir tahun 2016.

“Setelah Pakatan Harapan memegang tampuk pemerintahan negara dan Lim Guan Eng menjadi Menteri Kewangan, hutang negara meningkat kepada RM 741 bilion pada akhir tahun 2018 dengan kadar peningkatan sebanyak 7.89 peratus.

“Setelah kerajaan membuat pinjaman Bon Samurai, hutang negara pada suku kedua tahun 2019 adalah RM799 bilion dengan peningkatan sebanyak 10.19 peratus. Ini merupakan peningkatan hutang tertinggi negara dalam tempoh 10 tahun,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shahir berkata, keadaan itu menunjukkan bahawa ekonomi negara berada dalam keadaan yang amat tenat.

Ujarnya, jika ia berlarutan tidak mustahil hutang negara akan meningkat melebihi RM800 bilion pada akhir tahun 2019.

“Keadaan ini juga bakal merealisasikan kenyataan Lim Guan Eng yang mengatakan hutang negara adalah RM1,000 bilion atau RM1 trilion,” ujarnya.

Justeru, beliau menyeru agar kerajaan memberikan fokus kepada aspek ekonomi negara dan kos sara hidup rakyat yang makin tinggi.

Tegasnya, menteri-menteri terutama Guan Eng perlu berhenti menghabiskan masa mereka untuk mempolitikkan isu-isu remeh sehingga boleh mencetuskan kegusaran antara kaum.

Katanya lagi, isu penyatuan ummah dan kempen produk Islam telah diberikan persepsi negatif perkauman, walhal faktanya ke arah penyatuan nasional masyarakat Malaysia.

“Pada waktu itu, rakyat boleh menghukum kealpaan pimpinan Pakatan Harapan yang leka dengan kerakusan politik mereka hari ini.

“Dewan Pemuda Ikatan Malaysia sentiasa cakna akan hal-hal anak muda terutama berkaitan jati diri Bangsa Malaysia, kemerosotan ekonomi negara dan penindasan yang berlaku kepada rakyat Malaysia,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast