Jabatan Agama Islam Selangor menahan 22 pengikut Syiah di Gombak, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR- Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyatakan kebimbangan terhadap serbuan terbaharu ke atas  pengikut Syiah di Gombak dekat sini baru-baru ini.

Mengikut badan tersebut, semua pihak berhak untuk mengamalkan apa-apa agama seperti yang termaktub di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan tanpa bimbang dikenakan tindakan.

“Pada tahun 2005, Amman Message yang secara khususnya mengiktiraf kesahan pelbagai amalan agama Islam sebagai tambahan kepada dua teras yang memfokuskan kepada pemeliharaan keharmonian dalam Islam telah ditandatangani oleh lebih kurang 200 cendekiawan Islam, ketua-ketua negara, ahli-ahli akademik dah pemimpin politik di seluruh dunia, termasuk kelulusan oleh mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Kita tidak boleh mengakui bahawa kita sebenar-benarnya merupakan negara yang mempunyai pelbagai kebudayaan melainkan pihak berkuasa, Badan Bukan Kerajaan dan masyarakat sivil menghormati dan bertolak ansur amalan agama setiap individu.

“Suhakam berharap agar tali persaudaraan dan belas kasihan akan menjadi dasar yang menjadi asas  pengukuhan masyarakat, bukan naluri yang memberi reaksi kebencian dan layanan buruk terhadap orang lain kerana perbezaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Suhakam, ia bersedia untuk memainkan peranan sebagai pemudahcara dan berharap agar kerajaan akan mengambil tindakan yang adil.

Jumaat lalu, PENGERUSI Syiah Malaysia, Kamil Zuhairi Abdul Azizi bersama 21 pengikut ajaran itu yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sebuah markas Hauzah ar-Ridha di Taman Sri Gombak, Gombak, Selangor.

Serbuan dijalankan selepas JAIS menerima maklumat mereka berkumpul bagi memperingati Pertempuran Karbala menjelang Hari Ashura, semalam.

Menurut JAIS, tangkapan dibuat mengikut Seksyen 12(c), Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara selama tidak lebih tempoh dua tahun atau kedua-duanya sekali.

JAIS turut menyita kain rentang, batu karbala, bingkai gambar, kitab dan buku berkaitan ajaran Syiah.

Menurut JAIS, penahanan itu bertepatan dengan fatwa yang diwartakan pada 17 Oktober 2013 oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor bahawa fahaman dan ajaran Syiah bercanggah dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.-MalaysiaGazette