KUALA LUMPUR – Laporan muka depan sebuah akhbar yang menyebut 21 Institusi Pendidikan Guru (IPG) disyor ditutup mulai tahun depan tidak benar dan tidak tepat sama sekali.
Perkara itu ditegaskan Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, adalah tidak munasabah perkara seperti penutupan 21 IPG itu dibincangkan ketika kementerian sedang berusaha melaksanakan penambahbaikan dalam latihan perguruan bagi meningkatkan kualiti latihan guru di negara ini.
“Ketika ini KPM berpandangan bahawa sebarang perancangan haruslah melibatkan semua pemegang taruh terutamanya para pensyarah dan pelajar IPG.
“Ini termasuklah mengambilkira kesan jangka masa panjang dan masa hadapan landskap pembinaan pembangunan profesionalisme keguruan,” kata kenyataan tersebut.
Berita Harian dalam laporan eksklusifnya memetik Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia telah mengesahkan cadangan penutupan 21 IPG itu.
Difahamkan 10 daripadanya IPG itu akan dijadikan pusat latihan dalam perkhidmatan dan co-exist dengan Kolej Vokasional dan Politeknik manakala 11 lagi akan dijadikan institut latihan awam atau untuk tujuan lain.
Manakala baki enam IPG sahaja dikatakan akan dikekalkan fungsi asal melatih bakal guru sekolah rendah yang dikelolakan oleh Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).
Pendedahan itu menerima pelbagai reaksi termasuk Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali yang menuntut pihak kementerian menjelaskan segera status dan perkembangan sebenar cadangan penutupan itu. – MalaysiaGazette