Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Tindak tanduk Lim Guan Eng yang tidak berbuat apa-apa dalam menangani pergerakan boikot barangan keluaran bulan Muslim tetapi menyalahkan MCA menimbulkan pelbagai persoalan.

Sebaliknya, Menteri Kewangan itu disindir kerana menghabiskan hari-harinya dengan mengejar ‘budak jahat’ (bogeyman).

“Siapakah yang menjadi kerajaan? Siapa yang memegang kuasa untuk menggerakkan pihak berkuasa?.

“Sekiranya berlaku kempen boikot yang dipacu oleh sentimen perkauman dan agama, Guan Eng sepatutnya menggunakan kuasa portfolio kewangan kerajaan untuk membetulkan isu itu,” kata Naib Pengerusi Pemuda MCA, Tan Chee Hiong

Malah, sebagai anggota Kabinet, beliau sepatutnya berada dalam kapasiti untuk menamatkan sebarang aktiviti yang memudaratkan hubungan perkauman.

Adalah tidak masuk akal bagi Guan Eng untuk mengambil pendekatan tunggu dan lihat sahaja tetapi berusaha keras untuk menyalahkan MCA.

Begitu juga dengan barisan kepimpinan DAP yang diam diri.

“Apakah gunanya menjadi menteri apabila mereka pekak serta bisu dan tidak mampu berbuat apa-apa?” soalnya lagi.

Jika tidak, semakin hari, semakin jelas tindak tanduk Guan Eng hanya menyemarakkan api perkauman dalam isu tersebut.

Namun, apabila Setiausaha Agung DAP itu mendapati isu berkenaan semakin hangat, beliau bertindak menyalahkan MCA pula.

Tan berkata, tingkah laku Guan Eng itu agak canggung dalam muslihat politik dan tidak sepadan dengan kedudukannya sebagai Menteri Kewangan.

Tegasnya, pendirian MCA berhubung isu tersebut tidak pernah berubah kerana percaya boikot adalah tindakan tidak rasional hingga boleh menjejaskan ekonomi dan kepentingan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast