Pengasas Bawal Exclusive, Haliza Maysuri (kiri) bercakap kepada media mengenai rampasan tudung yang meniru cap dagang Bawal Exclusive hasil serbuan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di St. Regis Hotel, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 11 SEPTEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Syarikat hijab mewah tempatan, Bawal Exclusive memberi amaran keras kepada pihak-pihak yang cuba ‘menciplak’ cap dagang syarikat itu dengan menjual tudung tiruan.

Pengasas syarikat berkenaan, Haliza Maysuri berkata, pihaknya kesal dengan pihak-pihak terbabit yang telah mengambil kesempatan dengan menggunakan secara keseluruhan jenama Bawal Exclusive yang diusahakanya sejak 21 tahun lalu.

Beliau berkata, syarikatnya telah mengalami kerugian ribuan ringgit akibat aktiviti tidak bertanggungjawab pihak berkenaan dan ia merupakan satu perkara yang tidak boleh dibiarkan.

“Sebenarnya jenama Bawal Exclusive ini sudah lali ditiru tetapi sekarang ini benar-benar melampau sebab mereka tiru sebiji logo dan jenama yang didaftar.

“Ini melampau dan saya kena ambil tindakan sekeras-kerasnya,” katanya pada sidang media disini hari ini.

Haliza berkata, tindakan pihak terbabit juga telah menjejaskan jenama keluaran tudung syarikatnya kerana mereka menggunakan bahan yang rendah mutu serta tidak berkualiti.

Katanya lagi, apa yang dilakukan oleh pihak terbabit boleh menjejaskan hubungan kerjasama dengan Swarovski yang merupakan pembekal batu kristal bagi keluaran tudung jenama Bawal Exclusive.

Sidang media tersebut diadakan bagi mendedahkan kepada orang ramai dan peminat Bawal Exclusive agar tidak keliru dengan penjualan tudung berjenama itu yang telah dipalsukan di pasaran.

Semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna di Alor Setar telah merampas sebanyak 1,631 helai tudung berjenama Bawal Exclusive turuan di sebuah premis di Jalan Langgar.

Kesemua rampasan bernilai RM24,465 itu dilakukan selepas KPDNHEP menerima maklumat dan aduan daripada pemilik cap dagang berkenaan.

Pemeriksaan di premis borong itu mendapati, kesemua tudung tersebut menggunakan perihal dagangan palsu yang diedarkan di seluruh negara.

Dalam pada itu, Haliza menasihatkan, kepada usahawan-usahawan tudung yang baru nak memulakan perniagaan agar mencipta jenama sendiri dengan tidak sewenangnya mencuri jenama orang lain.

Katanya, bukan senang untuk Bawal Excusive menempa nama selepas 21 tahun terlibat dalam penjualan hijab. – MalaysiaGazette