KUALA LUMPUR – Isu pemasangan bunting sempena Himpunan Penyatuan Ummah (HPU) pada 13 dan 14 September ini mencetuskan kemelut terbaharu antara UMNO dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad.

Khalid menerusi ciapan di Twitternya hari ini memberitahu, beliau dimaklumkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), surat permohonan dari UMNO untuk pemasangan bunting hanya sebanyak 150 unit sahaja.

Katanya, beliau was-was untuk mempercayai pihak mana, sama ada DBKL yang memaklumkan kepadanya hanya 150 bunting sahaja atau UMNO menerusi surat permohonan rasminya menyatakan pemasangan untuk 1,000 unit bunting.

“Ya ke memohon 1,000? Surat DBKL sebut mohon 150 jer. Hmmm.. mana satu nak percaya? Rasanya UMNO terkenal penipu kan… Tak tahulah kenapa tapi ambo (saya) begitu cenderung untuk lebih percaya DBKL.

“Tapi yang jelas, anjuran UMNO naa. Hahaha.. awat tak khabak (beritahu)? Hahaha. Perpaduang (perpaduan) pencuri?,” sindir beliau dalam ciapannya pagi ini.

Beliau menjawab ciapan balas dari Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Mohd Razlan Rafii yang cuba memperbetulkan kenyataan Khalid bahawa UMNO telah memohon untuk memasang sebanyak 1,000 unit bunting.

Kata bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan itu, UMNO memohon 1,000 unit tetapi menteri hanya meluluskan pemasangan 150 sahaja sedangkan petugas UMNO baharu memasangnya 100 keping dan mendkawa penguat kuasa DBKL sudah merampas dan menurunkan bunting itu.

“Mohon 1000 la pak menteri, you kasi lulus 150.. baru pasang 100 jee.. tu pun takut, you suruh DBKL potong (buang)..

“Fakta kena betul la.. kan saya kata awal tadi.. bunting pun pak menteri nak menipu,” balas Mohd Razlan.

‘Perang’ tweet berterusan lagi apabila Khalid yang tidak puas hati dengan penjelasan itu membalas ciapan dengan sindiran; “Rugilah DBKL kerana orang (UMNO) mohon 1,000, tapi lulus 150?

“Kenapa begitu,” tanya beliau dengan sindiran dialek Terengganu, dipercayai merujuk pelat percakapan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang berasal dari Terengganu.

“Aduuh.. rugilah DBKL. Orang mohong (mohon) 1,000 (kononnya), tapi lulus 150? Kenapa gitu (begitu)?

“Setiap satu bunting boleh (DBKL) kutip bayaran… bukan senang nak dapat duit dari pencuri. Lain kali mohong terus dengan saya. Hampa (anda) nak 10 ribu pun ambo bagi. Tak bohong punya. Cuba mohong,” sindir Khalid lagi.

Khalid sebelum itu, menjawab kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berhubung tindakan penguat kuasa DBKL merampas bunting HPU yang dipasang pada tiang elektrik sekitar Pusat Dagangan Dunia Putra di sini dua hari lepas.

Kata menteri itu, UMNO cuba berlaku tidak jujur dengan dakwaan tindakan merampas bunting kerana berdasarkan pengetahuannya, parti itu memohon untuk memasang 150 bunting tetapi dikatakan memasangnya lebih 1,000 unit.

“Kejujuran pejuang Islamlah katakan. Bab bunting pun nak menipu. Beraraklah bersama dengan penipu2 yang memperalatkan agama untuk kepentingan politik mereka. Sudah terang lagi bersuluh… atau.. tak pandai kira? hahaha,” ciapnya.

Surat dari UMNO kepada Pengarah Perlesenan DBKL dengan jelas memohon pemasangan 1,000 unit bunting atau gegantung.

Sementara itu, UMNO mendedahkan kepada umum surat permohonan kebenaran memasang gegantung (bunting) sempena Himpunan Penyatuan Ummah kepada Pengarah Jabatan Perlesenan dan Pembangunan Penjaja DBKL, Jabarilah Ja’afar bertarikh 9 Ogos 2019.

Surat yang ditandatangan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan itu memohon untuk memasang 1,000 keping gegantung di 13 lokasi, iaitu Jalan Putra, Jalan Tun Razak, Jalan Kinabalu, Jalan Tun Ismail,Jalan Kuching ke Jalan Sultan Azlan Shah dan Jalan Pahang.

Menurut surat itu, gegantung juga akan dipasang di Jalan Tunku Abdul Halim (Jalan Duta), Jalan Raja Laut, Jalan Chow Kit, Jalan Loke Yew, Lebuhraya Sultan Iskandar (Lebuhraya Mahameru), Jalan TAR dan sekitar Masjid Negara.

Surat itu juga turut memaklumkan kepada DBKL, kerja pemasangan gegantung bermula 6 September dan akan diturunkan pada 22 September ini.

Surat balas dari DBKL kepada Khalid pula menyatakan pemasangan 150 bunting.

Manakala Khalid turut memaparkan surat DBKL yang diterimanya memaklumkan permohonan UMNO untuk memasang 150 unit iklan tiang lampu diluluskan bagi visual yang mempunyai penggunaan bahasa Melayu dengan beberapa syarat.

Surat DBKL pula menyatakan lapan lokasi untuk pemasangan iklan tiang lampu iaitu Jalan Putra, Jalan Tun Ismail, Jalan Tun Razak, Jalan Pahang, Jalan Chow Kit, Jalan Loke Yew, Jalan TAR dan sekitar Masjid Negara.

Surat itu menyatakan, tempoh kelulusan dari 6 September hingga 15 September 2019 dengan saiz iklan tiang lampu adalah 6’ x 2’. – MalaysiaGazette