KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (AMANAH) melahirkan rasa terkejut dengan kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan yang menyifatkan tragedi Memali lebih kecil berbanding kerjasama dengan UMNO.
Pengarah Komunikasinya, Khalid Abdul Samad menegaskan, tragedi yang mengorbankan 18 orang termasuk anggota polis dan orang awam itu sepatutnya tidak diremehkan hanya dengan kerjasama politik dua parti Melayu itu.
“Saya terkejut dengan kenyataan sebegitu rupa kerana kita melihat dalam kes Memali ini ada banyak isu yang perlu penjelasan dan kita menganggap ianya sebagai satu tragedi yang tidak seharusnya berlaku.
“Persoalan bila kita berdamai dan mempunyai hubungan kerjasama politik, ianya tidak mengubah hakikat bahawa tragedi telah berlaku.
“Kita kena ambil pengajaran dengan kenyataan yang sebegitu rupa seolah-olah memberikan gambaran bahawa peristiwa itu berbaur politik semata-mata,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah 1441H Peringkat Wilayah Persekutuan hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Takiyuddin semalam yang menyifatkan tragedi Memali dianggap kecil dengan wujudnya program Himpunan Penyatuan Ummah dalam membawa Pas dan UMNO bekerjasama melalui piagam.
Menurut Takiyuddin, Pas menganggap keluarga yang terlibat dalam tragedi itu sudah memaafkan UMNO dan pihak bertanggungjawab atas kejadian tersebut.
Khalid juga berkata, kenyataan Takiyuddin juga dilihat tidak lebih sekadar mainan politik dan tragedi itu tidak sepatutunya tragedi itu menjadi ‘halal’ hanya kerana kerjasama dua parti politik itu.
“Apabila sudah berdamai dua parti politik yang terlibat, maka tak jadi isu sedangkan nyawa terkorban di pihak polis dan juga di pihak orang kampung.
“Kalau kenyataan sebegitu nampak seolah-olah ia mainan politik dan tak sepatutnya peristiwa yang begitu rupa diremehkan.
Saya cukup dukacita kalau kenyataan sebegitu rupa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: