Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa bersama Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan kelihatan sebak ketika membaca piagam kerjasama antara UMNO dan PAS pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 14 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Suasana pilu menyelubungi Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) apabila Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa sebak ketika melafazkan Piagam Muafakat Nasional.

Annuar terhenti seketika menahan sebak, sebelum Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan yang berada di sebelahnya menepuk bahu beliau sebagai tanda menenangkannya.

Annuar kemudian meneruskan membaca Piagam Muafakat Nasional dengan memulakan bacaan “Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

“Dengan izin Allah SWT, sesungguhnya UMNO dan Pas dengan setulus hati mengisytiharkan pembentukan suatu Muafakat Nasional yang membawa agenda penyatuan ummah bagi mensejahterakan Malaysia yang majmuk.

“Maka dengan ini, UMNO dan Pas, menginsafi kewajipan-kewajipan untuk:

“Menjunjung dan mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin pembentukan Negara, Islam sebagai Agama Persekutuan, Kedaulatan Raja-Raja Melayu, Kedudukan Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta Menjamin Kepentingan Masyarakat Majmuk Terpelihara;

“Memperkukuhkan Muafakat Nasional melalui amalan musyawarah yang melibatkan pelbagai latar agama, kaum dan budaya demi kepentingan negara.

“Memperkasakan agenda Islam, Melayu dan Bumiputera secara tuntas dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan demi membangunkan watan yang sejahtera.

“Membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif (Islam dan bangsa Melayu) tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum dan kesejahteraan negara.

“Mengikhtiarkan secara kolektif satu citra dan tawaran baru untuk negara dalam meningkatkan tadbir urus yang baik, dasar pembangunan yang inklusif dan sejahtera serta pengagihan yang menyuburkan keadilan sosial merentasi batas warna kulit dan anutan.

“Justeru, marilah kita semua rakyat berganding bahu mendukung Muafakat Nasional Demi Malaysia yang Sejahtera,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast