KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Parti Sosialis Malaysia (PSM), Khalid Ismath yang ditahan semalam berhubung dakwaan menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di laman sosial akan dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, lelaki berusia 29 tahun itu dibebaskan selepas keterangannya diambil pagi ini dan tiada permohonan reman dibuat.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 dengan beberapa individu akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.
Media melaporkan Khalid ditahan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di rumahnya di Klang, Selangor pada 10.30 malam tadi.
Khalid dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan telefon bimbitnya dirampas untuk siasatan.
Sebelum ini, media melaporkan Tunku Azizah telah menyahaktif akaun Twitter rasmi milik baginda dan akaun Twitter baginda diaktifkan semula pagi ini. – Bernama