Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) diiringi Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bergambar bersama barisan kepimpinan UMNO dan PAS pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 14 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Hari ini UMNO dan Pas melakar suatu peradaban iaitu sejarah penyatuan antara dua parti terbesar negara.

Kedua-dua kepimpinan, ahli dan penyokong parti hadir atas cetusan serta dorongan nurani yang ikhlas.

Mereka berkumpul demi membina masa depan negara yang lebih bermaruah, selain mahu negara ini kembali menjadi harmonis, sejahtera dan terus diredhai Allah.

Lebih tepatnya lagi, apabila saat penyatuan ini termeterai setelah 1,400 tahun berlalunya peristiwa Aamul Jamaah atau Tahun Penyatuan iaitu penyatuan dua golongan dari pendukung Saidina Ali dan pendokong Saidina Muawiyah.

Penyatuan ini berlaku pada 41 Hijrah dan kini setelah 1,400 tahun berlalunya Aamul Jamaah itu, umat Islam dari UMNO dan Pas kembali mengambil semangat penyatuan tersebut.

Menurut Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, permuafakatan itu bukan untuk menjerumuskan parti itu dan Pas ke arena politik perkauman, sebagaimana tohmahan liar yang dilemparkan beberapa pihak kebelakangan ini.

Sebaliknya, ujar beliau, ia hendaklah dilihat dalam ruang lingkup yang jauh lebih positif.

“Sebagai parti yang sudah masak dengan agenda perpaduan kaum, UMNO dan Pas akan memastikan penyatuan ini, bukan untuk memisahkan, menjarakkan atau memusuhi mana-mana kaum dan agama dalam negara ini.

“Kalau ada kenduri-kendara, pakat-pakatlah kita menolong. Kalau sakit demam, pakat-pakatlah kita menziarah. Justeru, dalam soal agama, bangsa dan negara, lebih-lebih lagilah kita perlu berpakat.

“Yakinlah permuafakatan yang akan terbentuk antara UMNO dan Pas ini tidak sama sekali menjejaskan tiang seri negara dan institusi raja, sebagaimana termaktub dalam Fasa 3.2 Perlembagaan UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Penyatuan Ummah dan Menandatangani Piagam Muafakat Nasional di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Ahmad Zahid menjelaskan, hati kedua mereka telah bertaut demi memperjuangkan agenda besar untuk ummah dan menyedari negara yang sebelum ini aman sejahtera, kini dirundung kegelisahan.

Katanya, keperitan hidup juga mencengkam rakyat, manakala Malaysia pula semakin tidak stabil dengan menyaksikan apa yang dibina bertahun-tahun oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) musnah dalam masa yang singkat.

Beliau berkata, prinsip penyatuan itu telah diperjuangkan dan diterjemahkan oleh Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa 2019, Fadhilah Sheikh Abdullah Bayyah yang menegaskan agar penyatuan ummah ini dijadikan matlamat utama demi melahirkan keamanan dan kerukunan sejagat.

Peristiwa hari ini merupakan kesinambungan gagasan perpaduan parti Perikatan-Pas yang telah diasaskan Allahyarham Tun Abdul Razak selaku Presiden UMNO dan Allahyarham Tan Sri Mohamad Asri Muda, Yang Dipertua Agung Pas pada 28 Disember 1972.

“Malah pada tahun 1998, Allahyarham Prof. Datuk Dr Haron Din yang ketika itu merupakan Ketua Penerangan Pas telah berpesan kepada saya untuk suatu waktu nanti agar UMNO dan Pas bersatu dalam satu wadah perjuangan yang sama.

“Mengimbau ucapan Allahyarham Tun Abdul Razak di Perhimpunan Agung UMNO yang ke-24 pada 30 Jun 1973, Allahyarham menyatakan, asas kerjasama Pas dan UMNO (Perikatan) adalah kejujuran, keikhlasan, berbaik sangka dan berkhidmat bersama untuk agama dan negara, kerana ia bergantung kepada kestabilan politik dan ekonomi.”

“Bagaimanapun, kesatuan yang diidamkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak tidak kesampaian, ada rintangan yang mengagalkannya,” ujar beliau.

Namun, jelas beliau, UMNO dan Pas yang masing-masing di bawah pimpinan baharu telah memperkasakan isu menyentuh aspek taawun siyasi dan pernah sepentas di Stadium Titiwangsa pada 4 Disember 2016 bagi memperjuangkan hak asasi kemanusiaan rakyat Rohingya.

Kata Ahmad Zahid lagi, pada 22 Disember 2017 di Masjid Putra, Putrajaya, mereka bangkit bersama dalam Himpunan Putih, bersolidariti selamatkan Baitul Maqdis dan di Pasir Salak, Perak pada 17 November 2018, mereka senada melaungkan hasrat untuk penyatuan ummah.

“Kita juga sepakat dalam Himpunan Menentang ICERD pada 8 Disember 2018 di Dataran Merdeka. Malah, kita sehaluan membantah Statut Rom di seluruh negara.

“Saya berasa bangga, penyatuan ummah ini sudah mula dihayati di peringkat akar umbi. Pelbagai siri ceramah di cawangan, bahagian, kawasan dan negeri di seluruh negara mendapat sambutan hebat.

“Rakan setia kita, MCA dan MIC turut mengorak langkah menganjurkan program bersama Pas seperti pada 22 Ogos lali di, Stadium Tertutup Gong Badak di Terengganu yang menjadi saksi himpunan ukhuwah tiga Menteri Besar di Pantai Timur,” katanya.

Terbaharu, kata beliau, pada 30 Ogos lalu, Himpunan Perpaduan 2.0 di Pasir Salak berjaya menghimpunkan puluhan ribu rakyat dan terbukti masyarakat bersama UMNO dan Pas.

Beliau menjelaskan, gelora politik tanah air masa kini menuntut penyatuan itu dilaksanakan kerana kemakmuran dan Perlembagaan Negara sedang diganggu-gugat.

Untuk itu, sebagai pejuang dan pendukung penyatuan ummah, UMNO, Pas tidak boleh mengizinkan kepincangan itu berlarutan.

“Mereka mahu menggagalkan usaha murni ini. Kita harus berwaspada kerana kedudukan dan kuasa mereka pasti tergugat, apatah lagi sehingga kini mereka saling berebut kuasa sesama sendiri.

“Sesungguhnya, UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita Islam, Kebangsaaan Melayu, Hak Bumiputera dan anak negeri serta perpaduan Malaysia demi kemakmuran dan kestabilan negara.

“Pas pula memperjuangkan wujudnya sebuah masyarakat dan pemerintahan, yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah. Begitulah, padunya persamaan UMNO dan Pas,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast