Seorang warga asing yang ditahan pada Operasi Bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia di kawasan Perniagaan Nilai 3, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 15 SEPTEMBER 2019

NILAI – Seolah-olah sudah dapat menghidu kehadiran agensi penguatkuasa termasuk Jabatan Imigresen, warga asing yang berniaga dan bekerja di premis perniagaan di sekitar Nilai 3, menutup pintu premis mereka.

Malah, ada di antaranya secara perlahan-lahan cuba melesapkan diri mengikut pintu belakang dan terdapat juga pekerja asing yang menelefon rakan-rakan untuk memaklumkan kehadiran penguatkuasa.

Tindak-tanduk warga asing itu telah menyukarkan operasi bersepadu Jabatan Imigresen diketuai Ketua Pengarahnya, Khairul Dzaimee Daud bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Pendaftaran Negara dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Lantaran itu, hanya 68 pekerja asing berjaya ditahan dalam serbuan bermula 11 pagi hingga 2 petang ini.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud (dua kanan) melakukan pemeriksaan dokumen peribadi pekerja asing ketika mengetuai Operasi Bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia di kawasan Perniagaan Nilai 3, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 15 SEPTEMBER 2019Dua buah kereta ‘diisi’ dengan warga asing yang dipercayai cuba melarikan diri meninggalkan kawasan Nilai 3, akhirnya berjaya dicekup JPJ.

Dalam kalangan 68 warga asing yang ditahan itu, salah seorangnya adalah gadis Kemboja berusia 24 tahun yang datang ke negara ini sejak 1 September lalu untuk mencari pekerjaan.

Dia dicekup atas kesalahan menggunakan pas lawatan sosial.

Gadis bertudung itu yang sempat memaklumkan dalam bahasa Inggeris tentangnya dengan berkata, dia anak tunggal yang tidak mempunyai bapa.

Sebahagian warga asing yang ditahan pada Operasi Bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia di kawasan Perniagaan Nilai 3, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 15 SEPTEMBER 2019

Dia kelihatan sebak kerana tidak sangka usaha mencari pekerjaan di negara ini berakhir dengan digari pihak berkuasa.

Gadis tersebut dipercayai bekerja di kedai langsir di Kawasan Perniagaan Nilai 3 sejak 15 hari lalu.

Manakala bali 67 pekerja asing yang ditahan terdiri daripada 51 warga negara Pakistan, sembilan warga Myanmar termasuk seorang pemegang Kad UNHCR, tujuh Bangladesh.

“Wanita Kemboja disiasat dibawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959 kerana masuk negara tanpa pas atau permit sah manakala tahanan lain di bawah Seksyen 55B dan 55E Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 56 (1)(1d) akta yang sama.

“Agak ketara kerana berdasarkan dokumen yang diperiksa, kebanyakan pekerja asing ini mempunyai dokumen dan permit kerja sah, selain itu terdapat juga warga asing yang berkahwin dengan penduduk tempatan dan mempunyai permit sah, sama ada menjalankan perniagaan atas nama pasangan masing-masing atau pun bekerja di premis berkenaan dengan kebenaran imigresen.

“Namun 68 yang ditahan akan dilibatkan dalam pemeriksaan lanjut untuk mengesahkan dokumen yang dimiliki mereka tulen atau tidak. Jika tulen mereka akan dilepaskan,” kata Khairul Dzaimee pada sidang media selepas operasi petang tadi.

Warga asing yang ditahan pada Operasi Bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia di kawasan Perniagaan Nilai 3, Negeri Sembilan dibawa ke Depot Tahanan di Senawang, Seremban. foto SYAFIQ AMBAK, 15 SEPTEMBER 2019

Beliau yang menyertai operasi itu melakukan pemeriksaan di 39 premis perniagaan di kawasan perniagaan Nilai 3, yang menyaksikan kebanjiran warga asing.

Operasi hari ini disertai 292 orang penguatkuasa pelbagai agensi berjaya memeriksa 298 warga asing.

Kesemua yang ditahan hari ini berumur antara awal 20-an hingga 45 tahun dan tidak mempunyai rekod jenayah.

Katanya, dalam 58 operasi yang dijalankan Imigresen di Negeri Sembilan sejak Januari lalu sehingga kini, jumlah pekerja asing tanpa dokumen yang sah ditahan cuma 114 orang sahaja.

Beliau turut menjelaskan, terdapat persepsi silap apabila warga asing yang membanjiri sesuatu kawasan dianggap semuanya pendatang asing tanpa izin.

Manakala Suruhanjaya Syarikat Malaysia mengeluarkan 14 notis penjelasan dan kompuan kepada majikan-majikan perniagaan di sini, katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast