KAMPAR – Seorang guru mati lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika melakukan aktiviti berakit arus deras di Sungai Jahang, Gopeng di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, Ahmad Khairudin Ayob, 47, yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Limbongan di Melaka, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Pasukan Perubatan dari Klinik Kesihatan Gopeng.
Ketua Polis Daerah Kampar Supt Hasron Nazri Hashim berkata, mangsa tiba di sini bersama konvoi berkereta dan bermotosikal melibatkan 19 orang kira-kira pukul 3 petang.
Katanya, seramai 15 orang termasuk mangsa daripada kesemua peserta konvoi itu mengikuti aktiviti berakit arus deras yang dikendalikan sebuah syarikat rekreasi di Kampung Jahang dengan menggunakan tiga buah bot.
“Mangsa menaiki bot kedua bersama enam yang lain dan berlepas pada pukul 5 petang, selepas 10 minit aktiviti tersebut, bot yang dinaiki mangsa terbalik iaitu lebih kurang 500 meter dari tempat perlepasan (Kuala Razila).
“Mangsa terus dihanyutkan lebih kurang satu kilometer sebelum dapat diselamatkan oleh kru bot pertama dan seorang kru telah memberi bantuan pernafasan (CPR) tetapi tiada sebarang respons, manakala yang lain selamat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Hasron Nazri berkata, pemeriksaan fizikal ke atas mayat mangsa tidak menemukan sebarang unsur jenayah dan siasatan mendapati air Sungai Jahang ketika kejadian deras kerana hujan sebelum itu dan aktiviti adalah atas permintaan peserta.
“Langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya seperti jaket keselamatan, topi keledar dan taklimat sebelum memulakan aktiviti telah diambil,” katanya.
Hasron Nazri berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat. – MalaysiaGazette